Belajar moral 11 tahun pun masih tiada nilai murni

BANGI, 12 Jamadilawal 1441H, Rabu – Meskipun majoriti masyarakat Cina menentang pengajaran tulisan jawi di sekolah vernakular, namun masih ada segelintir kaum itu yang menyokong silibus berkenaan.

Seperti pendakwah bebas, Prof Ridhuan Tee Abdullah dan Firdaus Wong Wai Hung yang lantang bersuara apabila mempertahankan pengajaran tulisan jawi serta menafikan dakwaan bahawa ianya sebagai satu langkah mengislamkan murid bukan Islam.

Terbaharu, pengguna laman Facebook, Tai Zee Kin turut membidas tindakan sesetengah pihak yang membantah pengajaran tulisan berkenaan.

Dalam satu hantaran semalam, Zee Kin mempersoalkan kebimbangan mereka yang hanya menjadikan alasan takut diislamkan bagi menolak tulisan jawi.

Namun sebaliknya, beliau hairan kerana mereka yang mengambil mata pelajaran Pendidikan Moral di sekolah selama 11 tahun masih lagi tidak mengamalkan nilai-nilai murni.

“…And yet buang sampah merata, cut Q-lane when driving, speak loudly in public spaces, minum dalam LRT, think everyday how to tipu in BE form LHDN, etc, (Tetapi, buang sampah merata-rata, memotong barisan ketika memandu, minum dalam light-rail transit (LRT), hari-hari memikirkan cara untuk menipu cukai pendapatan dalam borang LHDN (Lembaga Hasil Dalam Negeri) dan sebagainya.)

“Pakai otak sikit please,” katanya dalam tulisan jawi.

Terdahulu, Gabungan Persekutuan Pertubuhan Lembaga Sekolah-Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) menyerahkan memorandum penolakan pembelajaran tulisan jawi di sekolah vernakular kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Sebelum ini, Setiausaha Agung Dong Zong, Ng Chai Heng berkata, wujud rasa takut dalam kalangan ahli pertubuhan berkenaan bahawa pengajaran jawi di sekolah vernakular akan ‘mengislamkan’ murid-murid.

Malah, bekas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik mengumumkan bahawa jemaah menteri memutuskan pengenalan tulisan khat ini akan dimuatkan sebanyak tiga muka surat sahaja dalam buku teks.

Pada masa sama, rata-rata pengguna Facebook berbangsa Melayu menyokong kenyataan Zee Kin, sambil menggesa mereka yang membantah pengajaran tulisan itu supaya tidak berfikiran sempit.

Typp’s Mum dalam tulisannya berkata, semakin banyak ilmu dipelajari, semakin luas pengetahuan tentang sesuatu perkara.

“Anak dan suami saya bersekolah Cina dari tadika sampai darjah 6. Relax je, tetap berpegang kepada agama Islam, malah dapat kawan ramai dan berbilang bangsa,” katanya.

Selain itu, Husny Elly pula berkata: “Kakak dan abang saya Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dari darjah 1 sampai 6. Sekarang fasih bahasa Mandarin dan tulis Cina. Alhamdulillah masih lagi Islam,”

Malah, pengguna Khairul Hadfiz berkata, bahawa anaknya sedang mempelajari cara untuk menulis dan bercakap dalam bahasa Mandarin.

Pada masa sama, pengguna Afiqah Mamat menghargai penjelasan Zee Kin mengenai tulisan jawi.

Afiqah berkata, beliau berharap dengan penjelasan berkenaan akan dapat difahami oleh golongan yang menolak pengajaran tulisan berkenaan.