Buku terbitan 129 tahun ada nama Malaysia

SEREMBAN: Biarpun Malaysia hanya diguna secara rasmi pada 1963, nama itu didapati telah tercatat dalam sebuah buku berkaitan sejarah negara ini bertajuk ‘India and Malaysia Illustrated’ yang ditulis penulis luar negara, Bishop Thoburn.

Berdasarkan catatan pada bahagian depan, buku berkenaan diterbitkan pada 1892 iaitu sekitar 129 tahun lalu di New York, Amerika Syarikat.

Pengkaji sejarah tempatan dan pemburu barangan antik, Wan Ahmad Arshad, 55, berkata beliau membeli buku berkenaan daripada seorang individu yang juga pengumpul barangan antik dari Ipoh, minggu lalu.

“Buku setebal 562 muka surat ini mengandungi dua bahagian yang mana bahagian pertama mengisahkan sejarah India manakala bahagian kedua membabitkan tanah air kita.

“Apa yang menariknya ialah, penulis ini sudah menggunakan nama Malaysia dalam buku ini walaupun nama itu digunakan secara rasmi pada 1963 sebaik pembentukan atau Penubuhan Malaysia pada 16 September 1963. Penulisan buku ini dalam bahasa Inggeris turut menyentuh banyak lokasi sama ada negeri, pekan dan bandar dalam negara ini.

“Selain itu, terdapat juga beberapa gambar Sultan dan Raja-Raja Melayu dipaparkan dan kaitannya dengan sejarah Tanah Melayu,” katanya ketika ditemui di rumahnya, di Senawang, hari ini.

Wan Ahmad yang juga pemilik Galeri Pusaka Moyang (GPM) berkata, buku berkenaan yang didakwanya dikenal pasti sebagai naskhah asal turut menceritakan mengenai usaha kumpulan dari barat menyebarkan ajaran Kristian di rantau ini.

Beliau yang sudah terbabit dalam bidang pengkajian sejarah sejak hampir 30 tahun, bagaimanapun berkata, penulis buku berkenaan menyebut bahawa usaha pihak barat menyebarkan Kristian di Malaysia telah gagal berbanding di India.

“Kumpulan dari barat gagal menyebarkan Kristian kerana pegangan kuat rakyat negara ini terhadap Islam,” katanya.