“Buta sejarah” dan “mungkar sejarah”

Pemerhatian umum menunjukkan bahawa “buta sejarah” dan “mungkar sejarah” menjadi sebab utama pertikaian tentang kebenaran dan hakikat negara.
 
Yang buta sejarah mungkin dapat dibantu untuk mengenal sejarah dan mungkin berubah sikap, tanggapan dan tindakannya apabila mengakui hakikat sejarah.
 
Golongan kedua menjadi batu penghalang besar kerana tidak buta sejarah tetapi sengaja tidak menghormati sejarah. Inilah golongan “mungkar sejarah”. Maka itu, beberapa pancang induk pembinaan negara sengaja diganggu gugat, seperti kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan, kedudukan Raja-raja sebagai Ketua negara dan negeri, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera serta hak sah kaum-kaum lain.
 
Akta Hasutan patut digunakan untuk mengambil tindakan kepada sesiapa yang mungkar sejarah itu, kerana menggugat kestabilan negara dan menentang undang-undang tertinggi negara, iaitu Perlembagaan Persekutuan. Cadangan tindakan itu tidak berkaitan dengan keturunan dan kelompok tertentu, baik Melayu mahupun bukan Melayu. Sebagai contoh, walaupun empat pancang kenegaraan tampak berteraskan penduduk majoriti, iaitu orang Melayu dan Bumiputera, ada dalam kalangan mereka yang mungkar sejarah seperti menentang Raja, menolak Islam sebagai agama Persekutuan dan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Ada kumpulan elit Melayu yang menamakan kumpulan mereka dengan nama tertentu yang terang-terang menyanggah peruntukan Perlembagaan Persekutuan.
 
Bagi golongan bukan Melayu dan Bumiputera, tidak ada sebab untuk berasa didiskriminasi kerana Perkara 153 menyebut “hak-hak sah kaum lain”. Orang Melayu, sebagaimana yang diungkapkan oleh Tun Tan Siew Sin dan Tun Sambantahan telah dengan ikhlasnya menerima rakan-rakan bukan Melayu sebagai warganegara sebuah negara merdeka tanpa syarat, melalui “jus soli”. Demikian juga kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan tidak menghalang penganut agama lain mengamalkan agamanya dengan bebas. Penetapan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan tidak menghalang penggunaan bahasa lain, kecuali dalam urusan rasmi kerana Perlembagaan Persekutuan menetapkan urusan rasmi dilangsungkan dalam bahasa Melayu.
 
Jika berlaku insiden tertentu pelaksanaan program yang tidak menepati lunas keadilan, maka tindakan keras perlu diambil kepada pelaksana program itu kerana tindakan itu bertentangan dengan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan hak sah kaum lain, selain kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera.
 
Maka sejarah hendaklah difahami dan diakui sebagai asas persefahaman dan perpaduan.
© Awang Sariyan Pendukung Tamadun
Bangunan Parlimen
23 Mac 2023