Dong Zong berani angkara kelemahan Mujahid

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 22 Jamadilawal 1441H, Sabtu – Penggunaan bahasa Mandarin oleh Presiden Persekutuan Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong), Tan Tai Kim pada sidang media selepas satu pertemuan di Kompleks Islam Putrajaya, Khamis lalu adalah natijah kepada ‘kelemahan’ Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof.

Menegaskan perkara itu, Setiausaha Agung Majlis Perundingan Melayu (MPM), Datuk Dr Hassan Mad berkata, beliau tidak mahu meletakkan kesalahan itu hanya pada Dong Zong, tetapi pada menteri yang menjaga portfolio hal ehwal agama berkenaan.

“Saya tak menyalahkan Dong Zong, tetapi Mujahid. Orang pun dah meluat dengan mereka.

“Selagi Mujahid lemah, selagi itu Dong Zong naik tocang. Apa yang dilakukan oleh Dong Zong itu adalah disebabkan kelemahan Mujahid,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Pada masa sama, beliau berkata, bukan hanya dalam pemerintahan Pakatan Harapan (PH), di zaman Barisan Nasional (BN) juga, pemimpin UMNO yang memberi muka malah, ‘menyembah’ kepada Dong Zong, kononnya atas kepentingan politik.

“Penyudahnya satu undi pun tak dapat. Padan muka. Di zaman BN, pemimpin UMNO ibarat lembu dicucuk hidung, akur dengan kehendak MCA dan PGRM untuk perakui Dong Zong.

“Kini PGRM dah menceraikan diri dari BN, tinggal MCA. Itu pun dah cukup kuat untuk bersuara bagi pihak cauvinis Cina dan terus dictateUMNO, apa mereka mahu ia buat untuk Dong Zong,” katanya lagi.

Kini, BN telah ‘tumbang’, sementara PH pula mengambil alih, katanya.

“Zahirnya nampak Melayu di depan, hakikatnya, DAP yang mengemudi PH. Yang pasti, Dong Zong semakin berpengaruh. Di antaranya dengan DAP mereka saling berpautan. PAN dan PKR tidak akan derhaka kepada DAP, maka dalam isu dan pengaruh Dong Zong, wajah PH mirip wajah BN, begitulah juga hati PH, sama macam hati BN.

”Jika Melayu nak marah kepada Mujahid kerana kebebalannya beri muka kepada Dong Zong, orang Melayu juga wajar tunding jari kepada kebebalan beberapa pemimpin UMNO dulu yang kini hendaknya insaf akan ‘yang dikendong berciciran, yang dikejar tak dapat’,” katanya.

Pertemuan Dong Zong dan Mujahid di Kompleks Islam Putrajaya pada 16 Januari lalu adalah bagi membincangkan isu berkaitan pengenalan tulisan jawi sebanyak tiga muka surat di sekolah vernakular yang telah lantang dikritik oleh pertubuhan itu.

Dalam sidang akhbar selepas pertemuan itu, Tai Kim menggunakan bahasa Mandarin untuk memberi kenyataan bagi pihaknya, yang kemudiannya diterjemahkan oleh seorang jurubahasa ke dalam bahasa kebangsaan.

Tindakan Tai Kim itu menimbulkan ketidakpuasan hati dan persoalan rakyat terhadap kebolehan presiden pertubuhan rasis itu untuk berbahasa kebangsaan, apatah lagi pemimpin rasis itu berada di dalam bangunan kerajaan.

Salah seorang pengguna media sosial, Fazli Diza menyifatkan tindakan pemimpin Dong Zong itu berbahasa Mandarin ketika sidang media berkenaan sebagai kurang ajar.

“Dong zong rasis! Terang-terang mereka menolak bahasa Melayu di depan khalayak dan menteri! Menteri itu abaikanlah sebab dia memang takde apa pun. Tapi memang kurang ajar Dong Zong rasis ini,” katanya.

Sementara itu, salah seorang pengguna media sosial, Baharuddin Bahar pula meluahkan rasa hairan, serta turut menggesa agar kad pengenalan Tai Kim disemak ekoran kegagalannya berbahasa Melayu ketika sidang media tersebut. 

“Cina tak pandai cakap Melayu, macam mana, imigresen tak check ke Cina ini, tengok IC dia macam mana. Nak merungut pulak tentang bahasa jawi,” katanya.