KENYATAAN MEDIA JARINGAN NGO SEDAR (SEDAR)
DONG ZONG, JIAO ZONG PROMOSIKANLAH
PERPADUAN DAN NASIONALISME
Persatuan Dong Zong dan Jiao Zong adalah dua persatuan Cina yang memperjuangkan sekolah vernakular Cina untuk mengekalkan bahasa dan budaya Cina di Malaysia.
2. Kerajaan yang terlalu berlembut dan tidak tegas telah mendorong mereka menjadi berani untuk terus membiakkan sekolah vernakular Cina, tidak mengutamakan Dasar Pendidikan Negara dan Fasal 152 Perlembagaan Persekutuan berkenaan bahasa kebangsaan. Mutakhir ini pula dengan lantang mereka mahukan Kerajaan mengiktiraf sijil UEC iaitu produk sekolah vernakular Cina.
3. Tun Mahathir pernah melabelkan Dong Zong sebagai kumpulan rasis. (BU TV3 13/8/19). Beliau juga menyifatkan aktiviti mereka boleh “mengakibatkan huru-hara, ketidakstabilan”. (Malaysiakini 20/12/19).
4. SEDAR dan beberapa NGO Melayu sudah beberapa kali menyuarakan kebimbangan kewujudan sekolah vernakular Cina ini. SEDAR turut menyokong usaha dan desakan supaya Kerajaan membubarkan sekolah vernakular Cina dan Tamil. Apa istimewanya mereka, sedangkan sekolah Melayu sudah lama dibubarkan. SEDAR juga berpendirian supaya Kerajaan tegas dan jangan tunduk dengan gesaan untuk iktiraf sijil UEC. Baru-baru ini portal Ismaweb melapurkan persatuan Dong Zong dan Jiao Zong ini telah mengadakan perjumpaan dalam talian dengan Duta China ke Malaysia. Entah apa yang dibincangkan.
5. SEDAR dengan ini ingin tanya beberapa soalan: Mengapakah mereka berbuat demikian? Lebih baik kalau dengan Kementerian Pendidikan (KPM) dan pakar-pakar pendidikan tempatan. Apakah penglibatan Duta China ini melanggar tatasusila amalan diplomatik kerana berbuat demikian? Diharapkan KPM, PDRM dan pihak berwajib lain sedar akan perkara ini.
6. SEDAR berharap jaringan kerjasama ini tidak melanggar sebarang peraturan atau undang-undang Malaysia. Apakah ada bantuan pakar dan dana yang disalurkan oleh mereka
untuk misi menyemarakkan kesubururan sekolah vernakular Cina? Adakah pemantauan yang teliti oleh Kerajaan dan agensi-agensi yang terlibat berkenaan perkara ini dari segi implikasi keselamatan?
7. Ibarat api dalam sekam; ular lidi jadi naga; beri betis hendak peha – adalah sangat tepat untuk menggambarkan tuntutan persatuan ini dan juga sesiapa saja yang menyokong mereka. Kerajaan hendaklah berani dan tegas menangani isu yang tidak menyumbang kepada perpaduan dan nasionalisme. Siasatan terperinci hendaklah Kerajaan lakukan ke atas pertubuhan-pertubuhan ini.
Sekian, terima kasih.
Prof Emeritus Hashim Yaacob
Timbalan Presiden.