Fitnah berbaur rasis dikeluarkan NGO Cina tentang jawi

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

BANGI, 27 Rabiulakhir 1441H, Selasa – “Bagaimana kita mahu dapat penyelesaian yang baik jika hanya NGO Cina sahaja dijemput untuk mengambil bahagian dalam perhimpunan berkenaan?”

Demikian persoalan dibangkitkan Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA), Haji Aminuddin Yahaya berhubung tindakan organisasi Cina yang berkeras mahu perhimpunan pada 28 Disember ini, kononnya mencari penyelesaian berkaitan pengajaran jawi di sekolah vernakular.

Media tempatan hari ini melaporkan, organisasi Cina menegaskan bahawa kongres bagi membincangkan pengajaran jawi di sekolah vernakular adalah mesyuarat perundingan, bukannya perhimpunan atau menimbulkan pertikaian antara kaum yang berbeza.

Malah, Presiden Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCH), Ong Seng Khek mendakwa pengenalan tulisan jawi dilihat sebagai meningkatkan Islamisasi, sekali gus menimbulkan kebimbangan dalam kalangan ibu bapa bukan Islam.

Mengulas perkara itu, Haji Aminuddin berkata, pelbagai kenyataan fitnah yang berbaur rasis dan Islamofobia telah dikeluarkan bagi menentang pembelajaran Jawi ini seolah-olah mereka dicabuli.

“Penganjur menentang keras keputusan Perdana Menteri dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) walaupun sudah banyak bertolak ansur.

“Lebih menarik ialah apabila mereka mendakwa Kongres Maruah Melayu sebagai rasis dan himpunan bantah Jawi ini adalah lebih baik.

“Bagi saya, selagi sekolah-sekolah vernakular ini wujud maka selagi itulah negara akan berhadapan senario tegang seperti ini,” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Pertubuhan rasis Cina, Dong Jiao Zong, pada Khamis lalu, dilaporkan menggesa pertubuhan Cina lain mendaftar untuk menghadiri kongres yang dijangka diadakan pada 28 Disember ini bagi menyuarakan bantahan terhadap pengenalan pelajaran jawi di sekolah vernakular.

Kongres yang dijadual berlangsung di Kolej New Era, Kajang dengan matlamat kononnya untuk menjaga kedaulatan pihak lembaga sekolah vernakular. Isu pembelajaran jawi sebelum ini mencetuskan perbalahan pelbagai pihak sehingga mengheret ke kancah perkauman.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini menzahirkan rasa bimbang dengan tindakan Dong Zong itu yang akan menyebabkan pihak tertentu bertindak balas.

“Jika mereka mahu buat sesuatu yang sangat Cina, tindak balas orang Melayu akan sangat Melayu, (termasuk) meminta sekolah-sekolah Cina ini ditutup. Kamu melakukan perkara seumpama itu dan kamu akan mendapat reaksinya,” kata beliau.