Guna bahasa negara sendiri, ekonomi tetap pesat dan maju

Baru-baru ini Presiden Persatuan Perusahan dan Perindustrian Kecil dan Sederhana (SAMENTA), William Ng dilapor berkata dengan pesimisnya bahawa urusan surat-menyurat perniagaan dalam bahasa Melayu pasti memberi kesan negatif kepada indeks perniagaan dalam negara ini ekoran saran oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.


Sebenarnya suara-suara negatif seperti ini bukanlah baharu di Malaysia. Bahkan sejak tahun enam, tujuh dan lapan-puluhan lagi. Setiap kali pihak kerajaan menyarankan sesuatu tentang usaha menggunakan bahasa Melayu sama ada untuk bidang pendidikan, perundangan, kehakiman, pelancongan, perdagangan dan lain-lain, adalah suara-suara sumbang seperti ini dengan alasan-alasan yang nampak macam logik kepada mereka tetapi sebenarnya itu adalah helah “musang berjanggut” yang kerap digunakan untuk mengelak daripada menggunakan bahasa kebangsaan di negara ini. Mereka lupa di mana mereka tinggal dan lupa negara ini telah lebih enam-puluh tahun merdeka. Mereka juga lupa bahawa negara besar di dunia yang ekonominya pesat maju tidak pun mabuk bahasa Inggeris seperti Perancis, Jerman, Sepanyol, Korea, Jepun, Rusia kecuali Britain, Amerika Syarikat, Australia dan New Zealand. Malah negara di Asia Tenggara seperti Thailand, Indonesia dan Vietnam pun memartabatkan bahasa sendiri. Filipina, negara Afrika bekas jajahan Inggeris dan Perancis yang terus menggunakan kedua-dua bahasa tersebut juga tetap corot ekonominya. Bagi MPM sikap negatif mereka meremehkan upaya bahasa kebangsaan dan cubaan halus untuk menyingkir penggunaannya yang sah di negara ini adalah satu pengkhianatan besar terhadap bahasa rasmi dan negara kerana bahasa kebangsaanlah antara pancang utama, asas pembentukan jati diri dan negara. Selagi kelonggaran diberikan, mereka akan terus mencari helah walaupun seratus tahun lagi. Maka dengan itu mungkin ada persoalan yang lebih besar boleh ditanyakan. Adakah ada unsur kebencian atau rasa tidak selesa dengan bahasa kebangsaan sedangkan sepatutnya saran Perdana Menteri disambut baik dan diraikan.

 

Kamal Shukri Abdullah Sani
Pengerusi Biro
Pembangunan Ummah dan
Komuniti Madani

 

Guna bahasa negara sendiri, ekonomi tetap pesat dan maju