Hantaran IG Aguero dalam Bahasa Melayu tarik perhatian

Kuala Lumpur: Hantaran pemain naturalisasi negara, Sergio Ezequiel Aguero di akaun Instagramnya mendapat perhatian peminat bola sepak tanah air.

Ia kerana pemain kelahiran Argentina itu menggunakan bahasa Melayu berbanding bahasa Inggeris yang selalu digunakannya sebelum ini.

Dalam hantaran itu, Aguero berterima kasih kepada penyokong atas kesetiaan dan sikap tidak pernah berputus asa untuk bersama pasukan Harimau Malaya tak kira ketika kalah atau menang.

“Hari ini kita kalah dalam pertempuran tetapi bukan kalah dalam peperangan. Akan ada lebih banyak pertempuran lagi pada masa akan datang.

“Perjalanan yang sukar, tetapi cukup bermakna selama 43 hari kami bersama. Komitmen dan usaha diberikan oleh pemain, jurulatih dan pengurusan adalah tidak ternilai,” katanya.

Tambah pemain Sri Pahang itu lagi, semua pemain yang beraksi di kejohanan AFF kali ini telah mengorbankan cuti, masa bersama keluarga untuk berada di kem latihan dan venue perlawanan demi pasukan Harimau Malaya.

“Keputusan perlawanan yang sangat menyedihkan, tetapi saya percaya setiap langkah yang kita ambil akan menjadikan kita lebih kuat pada hari esok.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada penyokong atas kesetiaan dan tidak pernah berputus asa untuk menyokong kami!!

“Korang semua memang terbaik!! Suasana bermain di Bukit Jalil sememangnya cukup luar biasa. Kepada rakan sepasukan, jurulatih dan pengurusan, saya akan merindui pasukan ini, anda semua adalah yang terbaik!!!

“Saya semakin berbangga menjadi rakyat Malaysia,” tulisnya.

Pada pertembungan separuh akhir kedua Piala AFF malam tadi, Malaysia tewas 0-3 di tangan Thailand menjadikan agregat 1-3.

Aguero yang membuat penampilan pertamanya tahun laliu berjaya mencetak dua gol dalam enam penampilan bersama skuad Harimau Malaya.