Iktiraf kemampuan UKM

UNIVERSITI Kebangsaan Malaysia (UKM) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Kementerian Perpaduan Negara dalam usahanya menawarkan kepakarannya melalui institut utama di UKM itu iaitu Institut Kajian Etnik (KITA), baru-baru ini.

Menerusi MoU ini, institut KITA akan terus berperanan menjadi penggerak utama kepada Kajian Indeks Perpaduan Nasional kali kedua (IPNas 2.0) bagi penambahbaikan Pelan Tindakan Perpaduan Negara (PTPN) yang dijangka akan dilancarkan September ini.

Naib Canselor Profesor Datuk Ir Dr Mohd Hamdi Abd Shukor berkata UKM berbangga kerana institut ini adalah satu-satunya institut penyelidikan di Malaysia yang sepenuhnya memfokuskan kajian terhadap ‘etnik’ dan ‘etnisiti.’

Menurutnya, peranan yang dimainkan institut ini adalah sejajar dengan penubuhan Kementerian Perpaduan Negara, kementerian baharu yang juga mempunyai misi untuk meningkatkan lagi usaha penyatuan bagi membina tapak integrasi yang akan mengukuhkan semangat muhibah dalam kalangan rakyat.

“Saya yakin, usaha ini akan berjaya dilaksanakan dengan signifikan atas semangat kekuatan kerjasama yang terjalin erat sejak sekian lama antara UKM dan Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN).

“Kini, kerjasama ini juga bakal diperkukuhkan lagi dengan Kementerian Perpaduan Negara melalui KITA, UKM,” katanya.

Majlis MoU ini dihadiri Menteri Perpaduan Negara Datuk Halimah Mohamad Sadique dan Profesor Ulung Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin.

Mohd Hamdi berkata sebagai universiti penyelidikan, UKM sentiasa bersedia menawarkan kepakaran untuk menjadi pakar rujuk dalam pelbagai bidang sekali gus menyumbang kepada memperkayakan khazanah ilmu di dalam bidang tertentu agar dapat dimanfaatkan bagi kepentingan pembangunan sosial negara.

“Bagi mencapai matlamat ini dan memasyarakatkan penyelidikan yang dijalankan, UKM bekerjasama dengan pelbagai pihak industri dan masyarakat termasuk agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan melalui pembabitan berteraskan pengetahuan merentasi penyelidikan, pendidikan dan khidmat.

“UKM amat berbangga dengan kepercayaan yang diberikan kepada pakar universiti ini untuk bersama-sama dengan Kementerian Perpaduan Negara memperkukuhkan perpaduan dan semangat muhibah di kalangan rakyat negara yang kita cintai ini.

“Usaha perpaduan ini memerlukan kerjasama semua pihak. Justeru, adalah diharapkan usaha murni dan kerjasama yang dimeterai ini mencapai objektif yang digariskan atas semangat perpaduan negara adalah tanggungjawab kita bersama,” katanya.

 

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Ogos 2020 @ 6:30 AM