Iktiraf UEC masuk PISMP ‘dosa besar’ kerajaan BN

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 25 Rejab 1441H, Jumaat – Pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) untuk pengambilan Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) adalah satu ‘dosa besar’ kerajaan Barisan Nasional (BN).

Setiausaha Agung Majlis Perundingan Melayu (MPM), Datuk Dr Hassan Mad berkata, kepimpinan tertinggi kerajaan ketika itu bukan sekadar mengiktiraf UEC, malah menawarkan biasiswa 1Malaysia Development Berhad (1MDB) kepada pelajar cemerlang UEC untuk melanjutkan pengajian, termasuk ke luar negara. 

Bukan itu sahaja, beliau berkata, beberapa pemimpin kanan UMNO ketika itu pun menjadi ‘barua’ Persekutuan Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong).

“Mereka pergi ‘menyembah’ Dong Zong atas kepentingan politik yang tak pernah pun mereka (UMNO) raih manfaatnya. Lagi menyedihkan bila penjawat awam Melayu yang terajui Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) pun lebih teruk jati diri mereka berbanding orang politik.

“…. sehinggakan kuasa mengenai UEC pun mereka lantik orang kuat Dong Zong sebagai timbalan pengerusi. 

“Jelas sekali bahawa tangan-tangan kotor yang merosakkan agenda pendidikan nasional adalah di kalangan tangan-tangan kotor penjawat awam Melayu yang telah rosak jati dirinya,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Sebelum ini, Ismaweb mendedahkan KPM mengeluarkan iklan pengambilan khas PISMP dengan kepujian bagi calon laluan khas untuk pelajar lepasan UEC.

Malah, terdapat poster dikeluarkan dengan kapsyen calon lepasan UEC, SMA dan SMU berumur tidak melebihi 20 tahun pada 30 Jun 2020 layak untuk memohon PISMP.

Bagaimanapun, KPM yang mengambil maklum isu itu berkata, ketetapan bagi pengambilan calon guru lulusan UEC untuk adalah untuk subjek Bahasa Cina di Sekolah Kebangsaan Jenis Cina (SJKC).

KPM juga menjelaskan bahawa pengambilan pelajar bawah program ini dibuat setiap tahun semenjak 2011 lagi.

Mengulas lanjut isu itu, Hassan berkata, kerajaan Perikatan Nasional (PN) akan berdepan masalah besar jika tangan-tangan kotor ini tidak dinyahkan segera dari KPM.

“Bahkan lebih teruk jika menterinya tunduk kepada tekanan dari beberapa kerat rakan Kabinet yang tegar perjuangkan agenda pendidikan vernakular.

“Kerajaan PN akan berdepan ancaman ini lebih dahsyat berbanding ancaman COVID-19. Pejuang-pejuang nasionalis perlu bersedia dengan tindakan undang-undang terhadap KPM dan setiap pegawai bertangan kotor itu,” katanya.