KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong (YDPA) dan Majlis Raja-Raja seharusnya bertindak proaktif untuk menjawab mengenai hak kepentingan Melayu yang ketika ini semakin banyak dipersoalkan, terutama di media sosial.
Pensyarah Kuliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Madya Dr Shamrahayu Ab Aziz, berkata desakan sedemikian sudah terlalu kuat, terutama dari segi kedudukan bahasa Melayu.
“Saya tidak tahu adakah raja-raja sesuai (lagi) untuk berdiam diri dalam keadaan ini. Saya fikir ini persoalan yang baginda patut jawab,” katanya selepas syarahan bertajuk Tiang Seri Perlembagaan Negara bersempena Mesyuarat Agung Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) kali ke-56 di Rumah PENA di sini, hari ini.
Shamrahayu menegaskan kepentingan Melayu secara jelas disebut dalam Perlembagaan Perkara 153 meliputi perihal perniagaan, pendidikan, perjawatan awam, selain Perkara 152 mengenai kedudukan bahasa Melayu dan Perkara 89 berhubung tanah rizab Melayu.
Kesemua kepentingan itu seharusnya diberikan perhatian oleh YDPA kerana Kerajaan Persekutuan meletakkan tanggungjawab kepada YDPA untuk menjaga ketiga-tiga perkara itu bagi orang Melayu dan anak negeri Sabah dan Sarawak.
Shamrahayu berkata, apabila persoalan mengenainya lahir dalam kalangan masyarakat, institusi diraja seperti YDPA perlu memberi perhatian terhadap rungutan yang diterima.
“Mohon nyatakan sesuatu atau pun secara tidak langsung adakan perbincangan oleh Majlis Raja-Raja, kita perlu tindakan proaktif.
“Ia bukan hendak mengajak raja-raja terbabit dalam desakan politik tetapi untuk kepentingan dan roh semangat Perlembagaan itu,” katanya.
Tegas Shamrahayu, ketika ini hak-hak Melayu yang sudah termaktub dalam Perlembagaan cenderung diabaikan walaupun ia tidak dipinda.
Perlembagaan, katanya, tidak akan dipinda untuk membuang hak-hak Melayu kerana tindakan itu akan hanya mendatangkan kecelakaan politik tetapi pelaksanaannya tidak akan dilakukan baik dahulu mahupun sekarang.
“Contoh mudah adalah Akta Bahasa Kebangsaan yang dimaktubkan sejak 1963, namun di manakah kedudukan bahasa Melayu sekarang?
“Dalam hal ini, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) tidak boleh disalahkan kerana mereka tidak ada hak penguatkuasaan sebaliknya ia berada di bawah tanggungjawab pihak berkuasa tempatan (PBT),” katanya.
Shamrahayu berkata, malangnya PBT tidak menjalankan tanggungjawab itu, malah sebahagian PBT tidak langsung mempunyai peraturan mengenai penggunaan bahasa kebangsaan walaupun ada garis panduan dikeluarkan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan pada tahun 2008.
Sementara itu, Presiden PENA, Dr Mohamad Saleeh Rahamad dalam ucapan perasmiannya menyebut dunia kesusasteraan dan penerbitan ketika ini berada dalam keadaan menyakitkan selepas agensi seperti Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) lumpuh, penutupan akhbar Utusan Malaysia dan dasar berjimat cermat DBP.
Tegasnya, walaupun sasterawan negara diberikan elaun bulanan, kedudukan penggiat sastera dan perbukuan secara umumnya tersepit dengan ketiadaan peruntukan dalam belanjawan yang dibentangkan, baru-baru ini.
“Pemain industri perbukuan merungut tiada insentif disediakan untuk menggalakkan industri perbukuan.
“Jika pentas ekonomi itu pun tidak diberi perhatian, apakah yang hendak diharapkan untuk persuratan dan pembangunan penulis?,” katanya.