Kempen tingkat penguasaan bahasa Melayu wajar diperkemas

SEKALI pandang, kedudukan bahasa Melayu sangat kukuh di Malaysia kerana ada beberapa akta dan undang-undang yang seharusnya menjamin kedudukan bahasa Melayu, antaranya perkara 152 Perlembagaan Persekutuan.

Namun, penutur bahasa Melayu yang fasih semakin berkurangan kerana minat terhadapnya dilihat semakin tenggelam. Kepelbagaian bangsa dan kaum juga menyebabkan bahasa Melayu menjadi pilihan kedua ketika bertutur.

Bahasa asing menjadi pilihan warganegara Malaysia ketika bertutur dalam perbualan seharian kerana ia dianggap sebagai bahasa ekonomi dan mempunyai status yang tinggi.

Berdasarkan pengalaman saya bekerja sebagai juruwang di sebuah pasar raya, kebanyakan pelanggan warganegara tempatan lebih mengutamakan bahasa Inggeris ketika melakukan transaksi pembayaran, khususnya orang Melayu sendiri.

Selain itu, ada ibu bapa yang berbangsa Melayu lebih gemar menghantar anak mereka ke sekolah yang menggunakan bahasa Mandarin dengan pelbagai alasan. Antaranya, mereka beranggapan penguasaan terhadap bahasa Mandarin akan memberi peluang besar kepada anak mereka untuk mendapat pekerjaan.

Masalah ini bertambah parah apabila beberapa segelintir orang yang bukan Melayu masih tidak dapat bertutur dalam bahasa kebangsaan. Mereka tidak terdidik di aliran kebangsaan dan perlu memasuki pula kelas peralihan apabila belajar di sekolah menengah kebangsaan.

Jika kita melihat pula di media sosial, bahasa Melayu yang digunakan kelam kabut dan salah dari segi tatabahasa dan kosa kata. Malah, kebanyakan pempengaruh media sosial juga lebih gemar menggunakan bahasa Inggeris, malah ada yang bercakap ‘sekerat ular sekerat belut’ kononnya untuk mencapai audien yang tinggi.

Bagi mereka, bahasa Melayu hanya terhad kepada orang Melayu sedangkan bahasa asing seperti bahasa Inggeris tidak terhad dan mampu difahami oleh lebih ramai orang, sekali gus meningkatkan jumlah pengikut mereka.

Minat terhadap bahasa Melayu amat rendah

Berdasarkan beberapa keadaan ini, kita dapat membuat kesimpulan bahawa bahasa Melayu kurang bernilai dalam kalangan masyarakat tempatan sendiri sehingga minat terhadap bahasa ini amat rendah.

Jadi tidak hairan jika kita bertemu mereka yang mengaku warganegara Malaysia, tetapi tidak mampu berkomunikasi dalam bahasa itu dengan seribu satu alasan. Malah, kita juga dapati ada sesetengah ahli Dewan Rakyat juga berhadapan masalah untuk bertutur dalam bahasa kebangsaan selain penggunaan berlaku kecelaruan kosa kata.

Sedangkan, seharusnya setiap warga Malaysia sudah mampu bertutur dalam bahasa kebangsaan kerana kita sudah merdeka sejak 1957. Sampai bilakah kita mahu memberi alasan untuk mengelak daripada menguasai bahasa sendiri. Ia bukan sekadar bahasa rasmi negara, tetapi juga simbol identiti kita sebagai warga tempatan.

Malaysia tidak pernah menghalang rakyatnya untuk mempelajari bahasa lain. Malah, di kebanyakan sekolah, malah universiti pelbagai jenis bahasa asing diajar dan boleh dipelajari. Ia boleh dibuktikan misalnya BH menyiarkan berita pada 23 November 2023, Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa kewujudan dan penubuhan sekolah vernakular dan penggunaan bahasa Mandarin juga bahasa Tamil adalah berperlembagaan.

Lihat betapa Malaysia menghargai semua bangsa dan bahasa, namun itu tidak bermakna kita boleh meminggirkan bahasa rasmi negara.

Kesimpulannya, walaupun bahasa rasmi negara ialah bahasa Melayu, namun penguasaan orang Malaysia terhadap bahasa itu amat rendah. Dalam hal ini apakah lagi yang boleh kita lakukan bagi memastikan rakyat Malaysia mampu menguasai bahasa rasmi negara ?

Mungkin satu daripadanya adalah kerajaan perlu memperkenalkan syarat ketat terhadap seseorang yang ingin mengekalkan kewarganegaraannya seperti meletakkan penguasaan bahasa Melayu dengan fasih sebagai syarat utama. Kerajaan juga perlu mengubah minda dan sikap sesetengah majikan gemar meletakkan syarat pekerjaan terhadap penguasaan bahasa atau kaum tertentu sahaja, sebaliknya memberi penekanan terhadap bahasa kebangsaan.

Pelbagai kempen yang dapat meningkatkan penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan masyarakat juga perlu dikemaskan lagi seperti program ‘Bulan Bahasa Kebangsaan’ anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Selain itu sebagai rakyat Malaysia kita harusnya bangga mampu menguasai bahasa kebangsaan meskipun bukan penutur asalnya. Hanya dengan bahasa kita mampu bersatu.

Nur Azreen Gusri Rani, Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur

 

https://www.bharian.com.my/rencana/minda-pembaca/2024/05/1244308/kempen-tingkat-penguasaan-bahasa-melayu-wajar-diperkemas