KENYATAAN MEDIA GPMS

26 Disember 2019

DONG ZONG WABAK PERPECAHAN YANG WAJIB DIBASMI SEGERA

Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) mengikuti dengan rapat dan penuh kekhuatiran tentang perkembangan polemik pembelajaran jawi di sekolah vernakular yang terus disensasikan Persekutuan Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong).

Tindakan Dong Zong terus membantah pembelajaran jawi ini jelas menunjukkan sikap rasis dan anti perpaduan nasional badan itu. Sejak 1950-an, Dong Zong secara konsisten telah membantah apa sahaja usaha untuk memupuk perpaduan di kalangan masyarakat majmuk di Malaysia bermula dengan bantahan terhadap Penyata Razak di era 1950-an, bantahan terhadap Akta Pendidikan 1961 dan Laporan Rahman Talib di era 1960-an, bantahan terhadap Laporan Pendidikan Kabinet pada tahun 1979, bantahan terhadap pelaksanaan Sekolah Wawasan di era 1990-an, sehinggalah bantahan terhadap pembelajaran jawi mutakhir ini.

Terbaru, Dong Zong telah secara licik menggunakan polemik pembelajaran jawi di sekolah vernakular ini untuk menganjurkan persidangan anti-jawi yang menjemput semua persatuan berasaskan Kaum Cina. Jika disorot sejarah, isu dan rentetan peristiwa kali ini persis apa yang berlaku pada tahun 1987 di mana watak yang sama telah menganjurkan perhimpunan lebih 2000 orang Kaum Cina untuk membantah lantikan penjawat awam bukan Cina di sekolah vernakular. Perhimpunan berkenaan dan beberapa rentetan perkara lain telah akhirnya mewujudkan situasi politik dan hubungan antara kaum yang sangat tegang hingga Kerajaan Malaysia terpaksa melaksanakan Operasi Lalang bagi menjamin maslahat umum.

Mengambil kira suhu politik dan hubungan antara kaum di Malaysia yang sudah sedia hangat ketika ini, GPMS khuatir persidangan ini boleh menjadi asbab atau pemangkin kepada siri tindakan dan tindak balas sesama pertubuhan berasaskan kaum yang akhirnya mampu menimbulkan situasi tegang, seperti apa yang terjadi lewat 1987 dahulu.

Justeru, menyedari betapa babak perpecahan ini perlu dihindari demi kepentingan umum masyarakat majmuk berbilang bangsa di Malaysia, GPMS dengan tegas menyaran agar Kerajaan Malaysia memberi kata dua muktamad kepada Dong Zong – sama ada hentikan bantahan dan segera sokong agenda perpaduan nasional atau diharamkan. GPMS yakin dan percaya hanya dengan risiko pengharaman, entiti bernama Dong Zong, wabak pencetus perpecahan berkurun lama ini akan menghentikan isu dan polemik yang membantut perpaduan nasional.

Salam Hormat,

Mohd Alif Anas Haji Md Noor
Presiden GPMS