Kesalahan tatabahasa papan iklan rosakkan integriti bahasa Melayu

KEMUNCULAN kosa kata baharu dalam pengiklanan seiring dengan perkembangan globalisasi mempercepatkan evolusi yang mengetepikan peraturan linguistik. Hal ini dapat dilihat menerusi pencemaran bahasa pada papan iklan.

Dari segi sejarah, papan iklan menjadi medium untuk menyampaikan mesej yang jelas dan ringkas kepada khalayak. Bagaimanapun, peralihan ke arah bahasa yang lebih sensasi dan menarik perhatian menjejaskan standard tatabahasa bahasa Melayu.

Walaupun terdapat peraturan daripada pihak berkuasa tempatan untuk menggunakan bahasa Melayu dengan tepat dan betul, ia seolah-olah dipandang sebelah mata, malah jika ada penguatkuasaan, ia hanyalah bermusim.

Antara aspek pencemaran bahasa yang paling ketara pada papan iklan ialah kesalahan tatabahasa. Kesalahan sedemikian mengelirukan pembaca dan menyumbang kepada kemerosotan kemahiran bahasa, terutama dalam kalangan pelajar sekolah. Tidak dinafikan papan iklan mempunyai ruangan terhad untuk menjelaskan semua perkara, namun terdapat banyak pilihan kosa kata yang dapat digunakan bagi menjelaskan mesej tanpa merosakkan bahasa.

 

Sebagai contoh, terdapat papan iklan yang menggunakan kosa kata ‘anniversari’ yang diambil daripada perkataan asing, tetapi dieja mengikut sebutan, sedangkan istilah ulang tahun lebih tepat. Kesalahan ejaan pada papan iklan memberi implikasi yang besar, baik terhadap syarikat terbabit, mahupun terhadap persepsi jenama itu sendiri. Papan iklan ialah satu bentuk pengiklanan yang direka untuk menarik perhatian orang dengan cepat dan berkesan. Apabila terdapat kesilapan ejaan, ia bukan sahaja mengalihkan perhatian daripada mesej asal, tetapi juga menjejaskan profesionalisme dan kredibiliti perniagaan.

Sebagai contoh, restoran yang mengiklankan ‘menu gourmet’ tetapi salah eja sebagai ‘menu goumet’ menyebabkan bakal pelanggan mempersoal terhadap perincian dalam perkhidmatan mereka.

Tambahan pula, pada era digital hari ini, kesilapan sedemikian mudah disebarkan dalam media sosial serta memberikan kesan negatif kepada produk atau perkhidmatan.

Hari ini, penggunaan bahasa slanga dan tidak standard pada papan iklan semakin berleluasa. Walaupun penggunaannya menjadikan iklan lebih menarik demografi sasaran, ia melemahkan aspek formal bahasa.

 

Timbulkan kekeliruan khalayak

Normalisasi bahasa slanga di ruangan awam menyebabkan tidak ada garis pemisah yang jelas antara daftar formal dengan daftar tidak formal. Perkara ini merumitkan pembelajaran bahasa dan mendatangkan kekeliruan terhadap penggunaannya dalam konteks profesional.

Pencemaran bahasa pada papan iklan mempunyai implikasi yang signifikan terhadap pendidikan bahasa. Pendidik berusaha untuk menanamkan kemahiran bahasa yang betul kepada pelajar, tetapi kehadiran bahasa salah di tempat awam akan membantutkan usaha ini.

Bahasa ialah komponen utama identiti budaya. Pencemaran bahasa pada papan iklan mampu mencairkan warisan budaya, jika bahasa dalam iklan sering mengutamakan kepentingan komersial. Peralihan ini menyebabkan kehilangan kepelbagaian linguistik dan kelemahan hubungan budaya yang dikekalkan melalui bahasa. Penggunaan bahasa rojak pula menjadikan papan iklan tidak mendukung bahasa kebangsaan.

Penggunaan bahasa yang jelas dan betul di ruang awam menyumbang kepada perpaduan sosial dengan memastikan mesej difahami oleh semua ahli komuniti. Pencemaran bahasa pada papan iklan akan mewujudkan halangan kepada komunikasi, terutama bagi penutur bukan asli dan individu yang mempunyai tahap celik huruf yang rendah. Hal ini akan mengundang kepada perpecahan sosial dan menghalang perpaduan masyarakat.

Dari perspektif komersial pula, pencemaran bahasa boleh memberi kesan negatif terhadap imej jenama. Syarikat yang gagal menggunakan bahasa dengan betul dalam iklan dianggap sebagai tidak profesional atau cuai. Hal ini boleh menyebabkan kehilangan kepercayaan pengguna dan penurunan kesetiaan jenama. Kesannya, pengguna mempunyai pilihan untuk beralih kepada produk dan perkhidmatan yang lain.

Menangani isu pencemaran bahasa pada papan iklan memerlukan pendekatan holistik daripada pelbagai aspek. Pengiklan harus mengutamakan ketepatan dan kejelasan linguistik, yang berpotensi dengan membabitkan pakar bahasa dalam penciptaan kandungan papan iklan. Badan kawal selia atau pihak berkuasa boleh mewujudkan garis panduan untuk penggunaan bahasa dalam iklan bagi memastikan standard kualiti yang lebih baik. Pencemaran bahasa pada papan iklan ialah isu mendesak yang memberi kesan terhadap pendidikan bahasa, warisan budaya dan perpaduan nasional. Walaupun evolusi bahasa tidak dapat dielakkan, adalah penting untuk mengekalkan piawaian dalam komunikasi awam untuk memelihara integriti linguistik. Menangani isu ini bermakna, kita dapat memastikan bahawa papan iklan memenuhi tujuan promosi tanpa menjejaskan kekayaan dan ketepatan bahasa Melayu.

Dr Norfaizal Jamain dan Nur Afifah Abd Rahman Halawa, Universiti Malaya

 

https://www.bharian.com.my/rencana/minda-pembaca/2024/05/1249977/kesalahan-tatabahasa-papan-iklan-rosakkan-integriti-bahasa