Oleh Athirah Huda Zalhe
BANGI, 9 Rabiulakhir 1441H, Jumaat – Pihak berkuasa digesa menyiasat dan mengambil tindakan terhadap pihak yang bertanggungjawab dalam insiden murid sekolah menyanyikan lagu Negaraku yang diubah ke bahasa Mandarin, sebagaimana tular di media sosial hari ini.
Presiden gerakan Islam, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Haji Aminuddin Yahaya berkata, beliau tidak melihat ada keperluan untuk lagu kebangsaan itu diterjemahkan ke bahasa lain, selain daripada bahasa Melayu.
Seperti Jalur Gemilang, beliau dalam satu kenyataan berkata, lagu Negaraku yang dicipta pada tahun 1957 itu juga sesuatu yang tidak sepatutnya diubah sesuka hati, bahkan mesti dipelihara seadanya.
“Jika lagu Negaraku pun ‘diseleweng’ di sekolah-l vernakular, apa lagi yang telah ‘diseleweng’ di sekolah vernakular yang kita semua tidak tahu?
“Kita telah saksikan pelbagai siri isu yang membabitkan sekolah vernakular yang mencabar identiti negara. Nampaknya kontroversi yang mencabar maruah negara tidak henti-henti, seolah-olah akan terus berlaku dengan kerap sehinggalah sensitiviti kita hilang secara perlahan.
“Inilah yang kita panggil sebagai proses normalisasi,” katanya sebagai mengulas video tular memaparkan murid – dipercayai dari sekolah vernakular Cina – menyanyikan lagu Negaraku yang diubah ke versi Mandarin.
Menerusi video berdurasi 1:22 minit itu, majoriti murid berkenaan adalah berbangsa Cina dan terdapat seorang murid Melayu bertudung.
Mengulas lanjut, Aminuddin mempersoalkan apakah pengubahan lagu Negaraku ‘membantu’ mereka yang tidak faham bahasa kebangsaan, memahami serta menghayati lirik lagu berkenaan.
“Jika ini sebabnya, maka integrasi kaum di Malaysia masih di tahap yang membimbangkan kerana sepatutnya bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan difahami oleh semua lapisan warganegara.
“Sudah lebih 60 tahun kita merdeka, mengapa perkara sebegini masih timbul dan semakin parah?,” katanya.
Serentak itu, beliau turut menggesa supaya Kementerian Pendidikan (KPM) supaya memantau rapat dan teliti semua aktiviti yang berlaku di sekolah, terutamanya sekolah vernakular bagi mengelakkan insiden seumpamanya berulang.
Terdahulu, KPM dalam satu kenyataan memaklumkan sedang menyiasat insiden berkenaan yang didakwa turut berlaku di beberapa sekolah lain.