“Lebih Melayu daripada Melayu”

KUALA LUMPUR: Ilmuan terkenal negara, Prof Emeritus Datuk Dr Teo Kok Seong, lebih dikenali berikutan perjuangannya dalam memartabatkan bahasa Melayu sehinggakan sering kali diberikan julukan ‘lebih Melayu daripada Melayu’

Tidak banyak sisi lain pada Felo Utama, Institut Kajian Etnik (KITA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu yang diketahui. Namun, jangan terkejut, di sebalik ketegasan pendiriannya dalam isu bahasa Melayu, Kok Seong sebenarnya amat sukakan muzik hingga pernah berhasrat menjadi pemain gitar dalam kugiran.

 
 
 

Bagaimanapun kata Kok Seong, beliau lahir dalam keluarga yang amat sederhana hingga tiada kesempatan langsung untuk memiliki gitar walaupun sekadar sebagai hobi.

Sebagai anak sulung, Kok Seong banyak meluangkan masa mengendalikan kedai runcit kecil milik keluarganya sebagai satu-satunya mata pencarian mereka, ketika beliau masih bersekolah. “Saya sangat meminati lagu dari Indonesia terutamanya selepas mendengar Teluk Bayur oleh Ernie Djohan pada 1968.

“Dengan tiada langsung kemahiran dalam muzik, saya masih bercita-cita menjadi pemuzik kugiran biarpun ketika di tingkatan lima pada usia yang seharusnya lebih matang.

“Ia masih cita-cita saya sehingga sekarang. Sekurang-kurangnya untuk menghibur diri sendiri melalui petikan gitar sambil menyanyikan lagu Rano Karno, Kau Yang Sangat Kusayang,” katanya.

Selaku Cina Peranakan yang lahir di Tumpat, Kok Seong terbiasa mengamalkan budaya Melayu dalam kehidupan sehariannya. Hidangan tempatan seperti ikan singgang, budu dan ulam bukan saja menjadi makanan harian masyarakat Cina Peranakan Kelantan malah laksa, nasi kerabu dan nasi dagang menjadi hidangan utama pada perayaan Tahun Baharu Cina.

Mungkin juga ‘kemesraan’ Kok Seong dengan budaya Melayu menyebabkan beliau pernah dipanggil ustaz serta haji malah ketika menjadi guru di sebuah sekolah di Raub, Pahang pada 1982, rupa parasnya disamakan dengan komposer dan pemuzik terkemuka, Datuk Seri Ahmad Nawab.

“Saya memasuki kelas sebelah untuk mengambil pemadam papan hitam dan apabila masuk guru lain mengajar mendapati pemadam tidak ada, guru itu bertanya kepada pelajar siapa yang mengambilnya.

“Disebabkan pelajar tidak mengenali saya yang baharu mengajar di sekolah itu, pelajar merujuk kepada saya sebagai “cikgu macam Ahmad Nawab”,” katanya.

Kok Seong tidak menafikan dirinya selalu dilihat ganjil dan dipandang sinis masyarakat Cina terutamanya yang berasal dari sebelah pantai barat.

“Kecekapan saya dalam bahasa Melayu bukan sahaja dilihat sinis, tetapi semacam dikeji oleh mereka.

“Ini saya lihat dan rasai bukan sahaja melalui bahasa yang diucapkan malah menerusi gerak anggota badan mereka,” katanya.

Menurut Kok Seong, beliau asalnya adalah guru bahasa Inggeris lepasan Maktab Perguruan Bahasa pada 1974 tetapi kemudian memilih mengkhusus dalam pengajian bahasa Melayu ketika di tahun kedua di Universiti Malaya (UM) pada 1980.

“Selepas melalui tahun pertama, saya berhasrat menjadi anak Malaysia bukan Melayu yang berpendidikan Malaysia dan menekuni bahasa negara ini secara ilmiah.

“Ia dilakukan untuk menyumbang ke arah perkembangannya, selain yang dilakukan Dr Liaw Yock Fang, iaitu pakar Pengajian Melayu dan pakar sastera Melayu Klasik kelahiran Singapura,” katanya.

Ditanya mengenai insiden menyedihkan berkaitan bahasa Melayu yang tidak dapat dilupakannya, kata Kok Seong ia berlaku ketika pelaksanaan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) bermula pada 2003.

Hal itu katanya memperlihatkan peranan penting bahasa Melayu diambil alih satu persatu oleh bahasa Inggeris.

“Sejak itu, bahasa Melayu mula beralih daripada bahasa besar yang penting menjadi bahasa kecil dan tidak penting malah ibarat melukut di tepi gantang walau di tanah watannya sendiri,” katanya.

Tambah Kok Seong, sikap masyarakat Melayu sendiri menjadi halangan untuk memartabatkan bahasa Melayu sedangkan mereka sepatutnya menjadi teladan untuk dicontohi bukan Melayu.

“Dalam hal memartabatkannya, tidak boleh ada walaupun seorang Melayu yang mempertikai kemampuan bahasa Melayu dalam memandai anak bangsa dan memajukan negara.

“Apabila ini berlaku, seluruh sejarah etnik Melayu dinafikan dan dengan kata lain, sikap positif seorang Melayu itu penting sekali.

“Jika orang Melayu selaku penutur jati tiada keyakinan terhadap bahasa sendiri, ini tentunya akan mempengaruhi bukan Melayu yang rata-ratanya tidak pernah pun menerima bahasa Melayu secara ikhlas,” katanya.

https://origin.bharian.com.my/rencana/sastera/2021/10/875199/lebih-melayu-daripada-melayu