BANGI, 10 Rabiulakhir 1441H, Sabtu – Isu murid sekolah menyanyikan lagu Negaraku dalam bahasa Mandarin berpunca daripada sistem pendidikan sekolah vernakular, kata Haji Aminuddin Yahaya.
Presiden gerakan Islam Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) itu berkata, sejak sekian lama, sekolah vernakular lah yang menjauhkan rakyat Malaysia daripada bersatu-padu untuk mempertahankan identiti dan agenda kebangsaan.
Melihat video – dipercayai murid-murid sekolah SJK – menyanyi bersungguh-sungguh lagu Negaraku dalam bahasa Cina, sudah membuktikan sekolah vernakular sememangnya tidak menekankan bahasa kebangsaan.
“Logikkah murid-murid terpaksa menyanyi dalam Bahasa Mandarin untuk memahami lagu kebangsaan mereka sendiri.
“Jadi, adakah pihak di sana masih lagi ada justifikasi bagi sesetengah pihak untuk mempertahankan sekolah vernakular melainkan memang mereka sengaja untuk tidak bersatu, terutamanya di atas identiti nasional?” soalnya dalam satu kenyataan.
Terdahulu, video berdurasi 1:22 minit tular, memaparkan murid sekolah – dipercayai berlaku di sekolah vernakular Cina – menyanyikan lagu Negaraku yang diubah kepada bahasa Mandarin.
Berdasarkan video itu, murid – didapati majoriti berbangsa Cina dan terdapat seorang murid Melayu bertudung – menyanyikan lagu kebangsaan secara beramai-ramai di dalam sebuah kelas.
Bagaimanapun, Kementerian Pendidikan (KPM) memaklumkan, rakaman klip video berkenaan berlaku ketika pengajaran dan pembelajaran (PdP) di bilik darjah.
Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Amin Senin berkata, penggunaan bahasa Mandarin ketika menyanyikan Negaraku semasa PdP itu bertujuan memberi kefahaman terhadap maksud, tujuan dan adab semasa menyanyikan lagu kebangsaan oleh rakyat negara ini.
“Ia tidak dilakukan ketika mana-mana acara rasmi di sekolah berkenaan,” dakwanya.
Apa sahaja alasan yang diberikan, Haji Aminuddin kesal kerana sudah lebih 60 tahun negara kita mencapai kemerdekaan, namun masih ramai yang tidak mampu memahami bahasa kebangsaan.
“Tidak syak lagi, ini bersangkut paut dengan sistem pendidikan yang terpisah-pisah ini,” katanya.