Martabat bahasa Melayu dalam perundangan

SARANAN supaya hakim yang kurang mahir berbahasa Inggeris menyediakan penghakiman mereka dalam bahasa Melayu adalah tepat sekali. Bagaimanapun, ia menimbulkan pelbagai persoalan.

Antaranya ialah apakah yang terjadi dengan pelaksanaan bahasa Melayu dalam peranannya sebagai bahasa rasmi dalam sistem perundangan negara? Dengan ada saranan ini, ia didapati tidak berjaya dilaksanakan seperti sewajarnya.

Hal pelaksanaan ini sepatutnya tidak berbangkit lagi, khususnya kini setelah pindaan dilakukan pada Akta Bahasa Kebangsaan 1963 pada 1967, yang bukan sahaja menegaskan, tetapi menguatkuasakan pelaksanaan bahasa Melayu dalam bidang perundangan tanpa memberi pengecualian kepada sebarang cawangannya.

Tempoh hampir separuh dasawarsa itu seharusnya bukan sahaja digunakan sebaik-baiknya untuk memantapkan penggunaan bahasa Melayu dalam bidang ini dari segi kebahasaan. Ia juga selayaknya berjaya menghasilkan khazanah penghakiman yang agam dalam bahasa kita.

Masih guna bahasa Inggeris

Namun, semua ini tidak terjadi kerana penghakiman mahkamah kita didapati rata-ratanya masih disediakan dalam bahasa Inggeris, manakala yang dalam bahasa Melayu yang tidak seberapa jumlahnya itu pula ditulis dalam bahasa yang kurang bermutu.

Sehubungan ini, tidak keterlaluan jika dikatakan tempoh yang bukan sahaja panjang, tetapi bernilai itu, dipersia-sia mereka dalam bidang ini, khususnya yang merupakan penutur jati bahasa Melayu. Sepatutnya prasarana kebahasaan perundangan pada masa itu, baik dari segi istilah mahupun laras, rancak dikembangkan untuk memperlihat keupayaan bahasa Melayu kini untuk berbicara dengan bestari, baik secara deskriptif mahupun kreatif dalam sebarang hal perundangan.

Dengan kelekaan ini, bukan sahaja bahasa Melayu perundangan banyak ketinggalan dari segi perkembangan linguistiknya, ia juga boleh dikatakan tidak banyak berkembang dalam penambahan kosa ilmu perundangan dalam bahasa kita.

Ada pandangan dalam kalangan pengamal undang-undang, termasuk kaum Melayu sendiri yang mendapati bahasa Melayu tidak secekap dan seindah bahasa Inggeris untuk digunakan dalam melakar perjanjian, berhujah di mahkamah, menyediakan penghakiman dan lain-lain. Ini ada kebenarannya kerana bahasa Inggeris yang sudah lama digunakan dalam bidang ini, bukan sahaja terus-terusan dimantapkan banyak pihak di serata tempat untuk lebih cekap dan indah pula, malah, kita di Malaysia ikut melakukannya untuk memangkuskannya lagi dari segi kecekapan dan keindahan itu.

Guna dengan penuh bangga, yakin

Natijahnya di sini ialah bahasa Melayu juga boleh menjadi cekap dan indah seperti bahasa Inggeris jika kita berpanjangan menggunakannya dengan penuh kebanggaan dan kesetiaan. Dengan ini, yakinilah bahasa Melayu bukan sahaja mampu memperkata ehwal perundangan dengan mudah lagi cepat, ia juga berupaya mengungkapkannya dengan indah pula. Semua ini terletak pada ketekunan mereka dalam bidang ini, seperti yang diperlihatkan golongan sasterawan kita bahawa bahasa Melayu memang mampu mengungkapkan sebarang hal untuk bidang mereka.

Sehubungan ini, adakah kita ingin terus melihat kedominanan bahasa Inggeris dalam bidang perundangan negara? Untuk ini, kaum Melayu selaku kelompok dominan di negara ini, bukan sahaja perlu memperlihat peranan menuntun yang berkesan, tetapi juga menjadi tonggak sasa dalam semua urusan kenegaraan.

Dalam hal ini, apabila kaum Melayu sendiri enggan menggunakan bahasa etnik mereka yang dipersetujui kaum bukan Melayu untuk dijadikan bahasa negara, tindakan ini bukan sahaja akan menimbul krisis keyakinan terhadap bahasa Melayu dalam kalangan kaum bukan Melayu. Ia juga sebenarnya akan menafikan kedominanan kaum Melayu yang simbol dan proses sosiobudaya etniknya dipersetujui kaum bukan Melayu untuk digunakan dalam semua skema negara.

Bahasa Melayu yang sudah pun berstatus bahasa saintifik moden, hendaklah digunakan untuk menyelenggarakan semua sistem negara, termasuk perundangan. Setiap aliran perundangan yang wajib menggunakan bahasa Melayu, hendaklah bukan sahaja terus dipastikan begitu, tetapi juga dipertingkat penggunaannya ke tahap tertinggi lagi unggul.

Ini perlu wujud pada semua peringkat dengan menggunakan bahasa Melayu ketika draf pertama lagi, dalam menyediakan kontrak di firma guaman, penggubalan dan pendakwaan di Jabatan Peguam Negara, penghakiman di mahkamah serta perbahasan undang-undang negara di Parlimen.

Penulis ialah Profesor di Universiti Kebangsaan Malaysia dan EXCO Majlis Profesor Negara

https://www.bharian.com.my/kolumnis/2016/01/116508/martabat-bahasa-melayu-dalam-perundangan