BANGI, 13 Rabiulawal 1444H, Isnin – Usaha Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berucap dan mempromosikan bahasa Melayu di persada antarabangsa dianggap sia-sia sekiranya tidak disahut rakyat.
Justeru, bagi menangani isu ini, pemerhati politik, Prof Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah menyarankan supaya ketua daripada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) mengikuti kursus jati diri Islam dan Melayu.
“Cukuplah dengan syarikat swasta yang langsung tidak boleh dikawal. Jika syarikat dalam kawalan, kita tidak mampu lakukan dan disiplinkannya, bagaimana dengan yang lain.
“Penat rasanya, melihat Perdana Menteri, berucap dan mempromosikan bahasa Melayu di persada antarabangsa, malangnya di negara sendiri, langsung tidak disahut,” katanya menulis di ruangan kolumnis Ismaweb.net hari ini.
Prof Ridhuan Tee berpandangan, sekiranya pihak berkenaan masih tidak mahu berubah, mereka wajar digantikan dengan orang lain yang lebih berwibawa dan ada kesedaran hidup bernegara berpandukan Perlembagaan.
“Belajarlah daripada negara lain dan lihat bagaimana mereka mendaulatkan agama, bangsa dan negara mereka. Jangan pergi jauh, lihat Thailand, Indonesia, Vietnam dan lain-lain.
“Peliknya, ketua GLC inilah yang selalu keluar negara, apakah mereka tidak nampak bagaimana negara-negara lain memperkasakan jati diri agama, bangsa dan negara mereka.
“Apakah mereka tidak nampak, di negara maju, selepas maghrib, bandaraya mereka seolah-olah mati, tetapi kenapa apabila kita membangunkan bandar, ia perlu hidup 24 jam, yang rosak siapa? Adakah agama, bangsa dan negara terjamin keselamatannya apabila bandar hidup 24 jam?” soalnya.
Katanya lagi, tidak ada cara lain untuk menyelesaikan masalah ini, selagi kepemimpinan tertinggi tidak mengeluarkan arahan dan bertindak tegas terhadap mereka yang telah mati jiwa dan jati diri.
Beliau turut menegaskan, bangsa lain tidak akan mampu tolong orang Melayu selagi mana mereka masih tidak sedar.
“Semua tahu bahawa selama ini tangan-tangan Melayu yang merosakkan Melayu dan apa jua berkaitan dengannya, meskipun keistimewaan tersebut ada dalam Perlembagaan.
“Ultra kiasu hanya mengambil kesempatan. Melayu sendiri yang merosakkan agama, bangsa dan negaranya sendiri,” katanya.