Melentur buluh biarlah dari rebungnya

MAJLIS Perundingan Melayu (MPM) menjunjung kasih akan titah Tuanku Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong semasa Istiadat Pembukaan Parlimen penggal ketiga Parlimen ke-15.

Titah Baginda amat tepat dan relevan dengan suasana semasa. Baginda telah mengingatkan akan hal yang amat penting berkaitan teras, pancang dan jati diri warganegara ini iaitu keupayaan bertutur dalam bahasa Melayu sebagai bahasa negara sekali gus bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan di Malaysia.

Amatlah dikesali walaupun telah lebih 60 tahun merdeka masih wujud mereka yang masih tergagap-gagap bertutur dalam bahasa Melayu dan yang ironinya lebih fasih berbahasa asing pula.

Baginda juga turut mengingatkan akan peri pentingnya sikap saling memahami budaya yang wujud di negara ini yang amat perlu disemai sejak anak-anak kecil lagi.

Sikap saling memahami budaya yang wujud dalam persekitaran akan membantu membentuk kesatuan dan persefahaman yang lebih penting daripada sikap tolak-ansur yang berupaya membenih rasa curiga atau kurang ikhlas atau kiasu.

Titah Baginda melentur buluh biarlah dari rebungnya. Justeru MPM berharap pihak kerajaan khususnya dengan pelbagai kementerian yang ada dan seluruh warganegara amnya memahami dan mengambil iktibar akan segala yang tersurat dan tersirat dalam titah baginda khususnya berkaitan dengan pendidikan atau persekolahan awal kanak-kanak di Malaysia.

Persekitaran yang sesuai perlu dilaksanakan bagi merealisasikan pergaulan sesama mereka agar saling memahami sejak “rebung” lagi dan ini amatlah mustahak.

Mana mungkin untuk mewujudkan rasa kebersamaan, rasa kekitaan dan perpaduan yang kukuh setelah semuanya telah menjadi buluh yang keras dan mudah patah jika dilentur.

Bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar utama dalam sistem pendidikan negara perlu dipastikan terlaksana sebaik mungkin untuk berperanan secara maksimum sebagai bahasa perpaduan kebangsaan di negara ini.

Malang sekali jika perpaduan masih di kulit selama lebih enam-puluh tahun dan seolah-olah tidak mungkin selesai secara tuntas.

Menurut Baginda titahnya sudah pun dilunakkan sedikit untuk mengelakkan rasa pahit, tetapi semua pihak yang berkaitan wajib mengambil iktibar dan melaksanakan tindakan ke arah melunaskan hasrat Baginda yang suci demi kepentingan negara dan perpaduan sejati rakyat di negara ini.

Masa akan terus berlalu dan negara perlu laju ke hadapan dalam semua ranah kehidupan bernegara meliputi pembangunan, ekonomi, sosial, teknologi ke arah membentuk masyarakat dan negara madani seperti yang telah digagaskan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Semoga tidak berulang kisah Maharaja dengan Baju Baharunya, kacang lupakan kulit atau bidalan Mak Sirandang. Negara ini punya acuan dan jati diri yang tidak sama dengan negara lain.

Kamal Shukri Abdullah Sani,
Pengerusi Biro Pembangunan Ummah dan Komuniti Madani,
Majlis Perundingan Melayu.

 

Sumber: https://utusantv.com/2024/02/27/melentur-buluh-biarlah-dari-rebungnya/?utm_source=whatsapp&utm_medium=social-media&utm_campaign=addtoany