Oleh Fazleen Safina
BANGI, 20 Rabiulakir 1441H, Selasa – Gesaan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng supaya tiada siasatan dijalankan berhubung laporan mengenai nyanyian lagu Negaraku dalam bahasa Mandarin adalah tidak wajar.
Penasihat Persatuan Linguistik Malaysia, Prof Datuk Dr Awang Sariyan berkata, bukan sahaja desakan Menteri Kewangan itu tidak relevan, malah mana-mana pemimpin kerajaan sendiri juga tidak layak berbuat demikian.
“Polis sudah memanggil suspek berkaitan perkara ini.
“Maka, kita juga perlulah mematuhi penegasan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk melaksanakan peraturan undang-undang (Rule of Law),” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.
Terdahulu, Guan Eng meminta agar tiada siasatan dijalankan ke atas laporan lagu Negaraku dalam bahasa Mandarin.
“Mengapa lagu Negaraku dinyanyikan dalam bahasa Arab tidak menjadi isu, tetapi bila dinyanyikan dalam Mandarin, jadi isu sehingga ada yang membuat laporan polis. Saya harap polis tidak menjalankan siasatan ke atas anak-anak kita, biarkan mereka. Mereka tak ada salah.
“Mereka hanya mengikut teks yang disediakan oleh sekolah dan dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan pada 2014 dan diedarkan kepada semua sekolah pada 2015. Sebab itu, saya rasa, mereka ini hanya diberi peringatan bahawa Negaraku kena nyanyi dalam bahasa Melayu, tak perlu siasatan,” katanya.
Sebelum ini, polis sudah merekod keterangan dua individu bagi membantu siasatan kes tular video nyanyian lagu kebangsaan, Negaraku dalam bahasa Mandarin di sebuah sekolah di Seremban yang dipercayai berlaku pada September tahun lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed, berkata, dua individu terbabit ialah Penolong Pengarah Sektor Perancangan dan Pengurusan Pejabat Pendidikan Daerah (Aduan/Siasatan), Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan, serta Guru Besar Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Ma Hwa.