Penguasaan bahasa anak Sarawak terus dipertingkat: Abang Johari

KUCHING: Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menyifatkan Sarawak maju ke hadapan dan mendahului orang ramai susulan rakyatnya boleh berkomunikasi dengan berkesan dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris.

Menurutnya, kerajaan Sarawak mempunyai keistimewaan untuk menjadikan bahasa Inggeris dan juga bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi, meskipun umum mengetahui bahawa bahasa Melayu merupakan bahasa kebangsaan.

Dengan meneruskan penggunaan bahasa Inggeris dalam pengajaran subjek Sains dan Matematik juga katanya, kerajaan negeri bukan sekadar berniat hendak meningkatkan penguasaan bahasa anak-anak Sarawak.

“(Menerusinya juga) kita ingin memastikan bahawa perkara yang anak-anak kita pelajari dalam Matematik dan Sains kemudiannya boleh diguna pakai bukan sahaja di sekolah atau untuk lulus peperiksaan, tetapi juga dalam kerjaya mereka atau dalam mana-mana profesion yang mereka pilih. “Bagi sesetengah orang, kerjaya pilihan mereka mungkin memerlukan mereka berinteraksi dan berkomunikasi dengan seseorang dari luar Malaysia.

“Bahasa Inggeris adalah bahasa universal dan anak-anak Sarawak harus menguasai bahasa itu, termasuk semua nuansanya,” ujarnya ketika berucap pada Final Cabaran Debat Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu Piala Premier Sarawak 2023 di Muzium Budaya Borneo Kuching di sini, hari ini. Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat I Datuk Dr Annuar Rapa’ee.

Mengulas lanjut Abang Johari berkata, apabila anak-anak Sarawak telah menguasai ‘bahasa’ Matematik dan Sains, kerajaan negeri ingin memastikan mereka memasuki profesion Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM). Ia susulan dalam meneruskan perjalanan pada abad ke-21 ini katanya, Sarawak perlu berdaya saing dan unik.

“Sarawak (bagaimanapun) kini mendahului dengan adanya industri hidrogen, Program Dwi Bahasa dan usaha untuk menuntut hak kita di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“(Justeru) kita perlu terus bekerjasama untuk mencapai matlamat kita bagi mewujudkan Sarawak yang berfikiran ke hadapan dan pada masa sama, belia kita boleh melonjakkan negeri ke tahap lebih tinggi. Belia kita adalah pemimpin masa depan kita. Kita mahukan pemimpin cemerlang dengan kemahiran berfikir aras tinggi yang baik,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Cabaran Debat Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu Piala Premier Sarawak 2023 menyaksikan debat bahasa Inggeris bagi kategori institut pengajian tinggi dimenangi oleh pembahas dari Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), diikuti Institut Pendidikan Guru Kampus Batu Lintang di tempat kedua. Sementara tempat ketiga dan keempat masing-masing digalas oleh pendebat dari Universiti Curtin Malaysia dan Universiti Teknologi Swinburne Kampus Sarawak (Swinburne Sarawak).

Johan dan naib johan bagi debat bahasa Inggeris kategori sekolah menengah pula dimenangi oleh pendebat dari Sekolah Menengah Swasta St Joseph, manakala tempat ketiga dan keempat masing-masing dimenangi SMK Green Road dan Sekolah Menengah Kebangsaan Lodge.

Bagi pertandingan debat intelektual bahasa Melayu peringkat negeri Sarawak 2023, johan disandang oleh pembahas dari SMK Baru Bintulu sementara naib johan, Sekolah Menengah Antarabangsa Yayasan Sarawak yang menyaksikan mereka membawa pulang hadiah wang berserta hadiah iringan daripada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sarawak.

Untuk kesemua kategori, johan menerima RM5,000 sementara tempat kedua, ketiga dan keempat masing-masing menerima RM3,000, RM2,000 dan RM1,000. Perbahasan ini dianjurkan Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat (MEITD) dengan kerjasama Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sarawak dan DBP Cawangan Sarawak.

 

https://www.utusanborneo.com.my/2023/11/08/penguasaan-bahasa-anak-sarawak-terus-dipertingkat-abang-johari