MAJLIS Perundingan Melayu (MPM) mempersoalkan, dimanakah letaknya nilai bahasa jiwa bangsa dalam diri rakyat Malaysia yang menjunjung Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara.
Ini selepas Timbalan Menteri Kesihatan Sarawak, Michael Tiang menyatakan, kerajaan Persekutuan wajib menerima surat dari negeri itu walaupun dalam bahasa Inggeris.
Jelasnya, ini kerana Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 tidak dipanjangkan ke negeri Sarawak.
Pengerusi Biro Pembangunan Ummah dan Komuniti Madani MPM, Kamal Shukri Abdullah Sani menegaskan, perakuan bahasa Inggeris penting bukanlah sebab mewajarkannya dijunjung sama tinggi dengan Perkara 152.
Ujarnya, lupakah Tiang bahawa di dalam Perkara 152 iaitu bahasa rasmi negara ini ialah bahasa Melayu dan hendaklah digunakan seperti yang sepatutnya dalam urusan rasmi.
Baca artikel lain: Keadilan untuk Palestin satu-satunya jalan penyelesaian, kata Riyad Mansour
Jelasnya, Perlembagaan Persekutuan tidak mencatat sebarang pengecualian Perkara 152 ini kepada mana-mana pihak dan dengan itu terpakai di semua negeri yang membentuk negara Malaysia.
“Juga tiada sebarang kebenaran tertulis dalam fasal 152 untuk mana-mana pihak menggunakan apa-apa bahasa lain walaupun dianggap setaraf.
“MPM ingin mengingatkan Michael Tiang juga tentang perkara paling asas berkaitan Rukun Negara kita yang ketiga, keempat dan kelima iaitu Keluhuran Perlembagaan, Kedaulatan Undang-undang dan Kesopanan dan Kesusilaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Justeru, MPM menyokong pendirian tegas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam hal ini dan tidak memberi pengecualian kepada mana-mana pihak.
“Sebarang pengecualian yang diberi jelas merupakan ruang untuk sesiapa sahaja menuntut dengan pelbagai alasan untuk terus tidak menghormati dan menjunjung Perkara 152.
“Jika ini berlaku, itulah sebenarnya gambaran sikap terhadap bahasa kebangsaan negara sendiri walaupun sudah lebih 66 tahun merdeka,” katanya lagi.
Perakuan bahasa Inggeris penting tak mewajarkan ia dijunjung sama tinggi Perkara 152 – MPM