Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan jelas

PUTRAJAYA: “Sudah jelas termaktub dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan, bahasa rasmi digunakan dalam urusan kerajaan ialah bahasa Melayu.”

Felo Utama Institut Kajian Etnik (KITA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Dr Teo Kok Seong, menegaskan bahasa Mandarin adalah bahasa vernakular untuk kaum Cina sahaja dan tidak boleh digunakan sebagai bahasa dalam urusan rasmi kerajaan.

 

“Bahasa lain boleh dignakan untuk tujuan mengajar atau dipelajari.

“Namun bagi urusan rasmi negara, tidak boleh bahasa selain bahasa Melayu kerana perkara itu jelas termaktub dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan,” katanya ketika dihubungi NSTP, di sini, hari ini.

Beliau mengulas tindakan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng turut menggunakan bahasa Mandarin dalam kenyataan rasmi dikeluarkan kementerian itu, selain bahasa Melayu dan Inggeris.

Laporan sebuah portal berita memetik Guan Eng sebagai mempertahankan tindakannya mengeluarkan kenyataan dalam tiga bahasa itu ketika membincangkan isu Tun Razak Exchange (TRX).

Guan Eng dilapor mempertahankan tindakannya itu menerusi kenyataan dimuat naik dalam laman Facebook beliau yang hanya menggunakan bahasa Mandarin.

Mengulas lanjut, Kok Seong berkata, penggunaan bahasa Inggeris bagaimanapun perlu dilihat dalam konteks statusnya sebagai bahasa antarabangsa.

“Status bahasa Inggeris adalah lain, ia bahasa antarabangsa dan penggunaannya untuk tujuan diplomasi bagi urusan pihak di luar negara.

“Justeru, ada alasannya jika kita menggunakan bahasa Inggeris sebab ia bahasa antarabangsa untuk berkomunikasi dengan pihak luar negara,” katanya.

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2018/06/441594/perkara-152-perlembagaan-persekutuan-jelas