SINGAPURA: Pertumbuhan dan perkembangan bahasa Melayu harus bergerak seiring dengan kemajuan masyarakat dari zaman ke zaman dan tidak boleh kekal statik.
Itulah antara inti pati ucaptama pensyarah Universiti Nasional Singapura (NUS) Dr Azhar Ibrahim Alwee di sesi Siri Ceramah Arif Budiman 2021 pada Jumaat (2 Jul).
Dalam ceramah itu, Dr Azhar berkongsi bahawa sejak tahun-tahun 1960-an lagi, bahasa Melayu sudah digunakan sebagai wadah untuk mendorong masyarakat berfikiran secara kritis mahupun memacu mereka ke arah kemerdekaan daripada kepompong persekitaran sosial.
Malah jika diselami lebih mendalam lagi, kata Dr Azhar, seawal 1906 lagi bahasa Melayu sudah digunakan di rantau Nusantara sebagai pemangkin untuk mencapai status sosial yang lebih tinggi.
Lantaran itu, Dr Azhar berkongsi peri pentingnya untuk proses pemodenan bahasa Melayu itu dipercepatkan agar ia sejajar dengan arus dunia kontemporari.
Mentelah lagi, antara fungsi bahasa dalam masyarakat adalah kaitannya dengan pembentukan budaya pemikiran sesebuah masyarakat itu sendiri.
“Sudah banyak dilakukan contoh oleh Pusat Bahasa di Indonesia, Dewan Bahasa dan Pustaka di Kuala Lumpur dan Brunei, pasti juga Pusat Bahasa di Singapura tentang pemodenan bahasa Melayu tetapi yang mahu kita fikirkan, adakah sudah cukup ataupun kita harus lipat gandakan kerja ini,” ujar beliau.
“Kerana apa? Sebab pemodenan dalam masyarakat berlaku lebih pantas daripada pemodenan bahasa. Jadi kita perlu meningkatkan usaha. Sampai bila kita mahu menjadi kelompok yang mengguna pakai idea dari luar tetapi tidak pernah menghasilkan dari dalam sendiri,” tambah Dr Azhar.
GAGASAN BAHASA LIBERATIF
Gagasan bahasa liberatif yang membawa kepada perubahan, penyanggahan serta pemodenan bahasa Melayu itu, jelas Dr Azhar, perlu dipertimbangkan agar bahasa Melayu tidak hanya digunakan oleh golongan pakar atau pelajar sahaja.
Berhubung dapatan banci penduduk baru-baru ini yang menunjukkan trend orang Melayu di negara ini yang tidak menjadikan bahasa ibunda sebagai bahasa utama di rumah, Dr Azhar berpendapat perkara itu adalah satu cabaran sosial yang juga dihadapi banyak lagi masyarakat sejagat.
Sebaliknya, gagasan bahasa liberatif dikatakan beliau berpotensi membuat bahasa Melayu lebih bersifat “membumi dan relevan” kepada masyarakat pada zaman ini.
Beliau menambah: “Dimensi liberatif ini perlukan pewacanaan yang subur bergerak secara organik iaitu dalam masyarakat serta ia membumi iaitu ia bukan berawan-awan, berlangit-langit, konsep-konsep tinggi tetapi tidak mencecah di bumi nyata.”
Sekitar 100 peserta menghadiri sesi ke-17 Siri Ceramah Arif Budiman yang diadakan secara maya itu hari ini (2 Jul), anjuran Pusat Bahasa Melayu Singapura.
– BERITAmediacorp/ha
Sila baca https://berita.mediacorp.sg/mobilem/singapura/pertumbuhan-dan-perkembangan-bahasa-melayu-harus-bergerak/4628130.html