Saman vernakular: MCA main peranan DAP, tak sedar diuntung

BANGI, 30 Rejab 1441H, Rabu – “MCA kini memainkan peranan DAP sebagai parti komponen dalam kerajaan. Tak sedar diuntung,”

Demikian bidas Ketua Angkatan Pemuda-Pemudi Parti Berjasa (ANGKASA), Hazwan Mohamad apabila MCA mendakwa bahawa Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) menyibukkan diri menyaman sekolah vernakular, tatkala pandemik COVID-19 mengundang kebimbangan ramai.

Hazwan berkata, ISMA dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain sudah lama memfailkan kes mahkamah bagi mencabar keabsahan sekolah vernakular.

Tambahan pula, katanya, saman itu dikeluarkan sebelum kewujudan wabak COVID-19.

“Malah, usaha untuk memberitahu bahawa sekolah tinggalan penjajah ini tidak berperlembagaan (unconstitutional) lagi menjadi punca pecah-belah perpaduan sudah dimulakan secara agresif turun naik mahkamah dari Oktober tahun lalu lagi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, Setiausaha Agung MCA, Datuk Chong Sin Woon dalam satu kenyataan berkata, pihaknya mengecam sebarang cubaan oleh mana-mana pihak yang mencabar keabsahan sekolah vernakular dalam tuntutan undang-undang.

Sin Woon berkata, pihaknya kesal dengan tindakan Presiden ISMA, Haji Aminuddin Yahaya yang telah memfailkan tuntutan mahkamah ke atas sekolah vernakular, diikuti oleh pihak-pihak lain seperti Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (I-Guru), serta peguam Khairul Azam Abdul Aziz.

Katanya, ketika penularan wabak COVID-19 mengundang kebimbangan orang ramai, ISMA memilih untuk mencetuskan isu lain, selain mendakwa bahawa NGO itu mengabaikan Perlembagaan Persekutuan.

Kenyataan itu turut dikongsi di laman Twitter rasmi parti itu, namun ia dikecam oleh majoriti netizen.

Mengulas lanjut, Hazwan berkata, MCA turut menjadi pencelah untuk mempertahankan sekolah vernakular ketika ISMA memfailkan saman berkenaan.

Pada masa sama, beliau turut menyifatkan parti itu sebagai antinasional dan pelupa.

“Rupa-rupanya ramai terperangkap dengan MalaysiaKini yang memuat naik kembali berita dua bulan lepas. Berita ‘kitar semula’ ini dimuat naik atas tujuan apa?

“Saya kira rakyat Malaysia yang rasional tidak perlu diberitahu lagi apa motif MalaysiaKini ini,” katanya sinis.