SEKOLAH VERNAKULAR BERCANGGAH DENGAN PERLEMBAGAAN, MENGGUGAT PERPADUAN NASIONAL

KENYATAAN MEDIA JARINGAN NGO SEDAR (SEDAR)
SEKOLAH VERNAKULAR BERCANGGAH
DENGAN PERLEMBAGAAN, MENGGUGAT PERPADUAN NASIONAL
Jaringan NGO SEDAR (SEDAR) menyokong penuh kenyataan Presiden Pertubuhan Gerakan QIAM, Dato’ Sirajuddin, (TV Pertiwi 19/2/21) tentang penolakannya terhadap kewujudan sekolah vernakular di negara ini.
2. SEDAR ingin menyatakan bahawa sekolah Cina dan Tamil mula dibenarkan di Tanah Melayu kerana orang Cina dan India yang datang ke Tanah Melayu bukan asalnya untuk menjadi warganegara tetapi hanya untuk berkerja sementara. SEDAR juga ingin mengingatkan kaum Cina, bahawa Laporan Barnes 1951 telah menyeru kepada pemansuhan sekolah vernakular dan menggantikannya dengan Sekolah Kebangsaan dengan menggunakan Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar. Sebab utama British ingin menghapuskan sekolah vernakular Cina ini adalah kerana ideologi revolusi di China mula dirasai masyarakat Cina di Tanah Melayu, hasil hubungan Cina di Tanah Melayu dengan pengaruh guru-guru dari negara China. Dokumen pro-revolusi serta anti-penjajahan Barat mula menyusup masuk melalui guru-guru ini, menyebabkan British mengambil langkah campur-tangan dalam sistem pendidikan Cina. Fenomena serupa belaku kepada komuniti India kerana mereka dibesarkan dengan pengaruh yang datang dari India dalam hal-hal berkaitan budaya, sejarah dan geografi.
3. Langkah British ini ditentang oleh Gabungan Persatuan Guru Sekolah Cina Se-Malaya (Jiao Zong). MCA pula telah menjadi jambatan di antara Jiao Zong dan Kerajaan. Kerjasama ini akhirnya membentuk Malayan Chinese Association Chinese Education Central Comittee (MCACECC) pada 1952. Mereka membantah terhadap 3 cubaan asimilasi budaya iaitu Laporan Barnes 1951, Ordinan Pelajaran 1952 dan Laporan Kertas Putih 1954.
4. Kemudiannya, Dong Zong ditubuhkan melalui MCACECC (1953). Tan Cheng Lock, president MCA ketika itu, menyebut “The MCA would definitely support the cause of Chinese education. … Those who did not support it were not Chinese.” Dalam
hubungan ini , SEDAR juga hairan kenapa Singapura, Indonesia dan Thailand yang mempunyai ramai kaum Cina tiada sekolah venarkular? Negara-negara ini hanya ada satu jenis sekolah sahaja.
5. SEDAR juga ingin merujuk Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan bahawa Bahasa Melayu hendaklah dijadikan sebagai Bahasa Kebangsaan melalui undang-undang dalam Parlimen. Walaupun Perkara 152 (1)(a) dan 152(1) (b) Perlembagaan Persekutuan membenarkan penggunaan (selain bagi maksud rasmi) atau pengajaran bahasa lain, namun ini tidak bererti ia memberi peruntukan yang Kerajaan mesti menubuhkan sekolah venarkular untuk tujuan tersebut. SEDAR tiada halangan untuk Bahasa Cina, Tamil dan bahasa-bahasa lain diajar di Sekolah Kebangsaan sebagai satu mata pelajaran tambahan tanpa perlu ujud sekolah venarkular. Sebagai contoh, semua murid boleh bertutur, menulis dan membaca dalam Bahasa Inggeris walaupun sekolah Inggeris telah dihapuskan pada tahun 70’an.
6. Bagi SEDAR, Perlembagaan adalah Undang-undang utama Persekutuan dan apa jua undang-undang yang diluluskan selepas Hari Merdeka yang tidak selaras dengan Perlembagaan adalah tidak sah setakat ketidakselarasan itu. (Perkara 4 Perlembagaan). Oleh itu SEDAR dengan tegasnya mengatakan bahawa kewujudan sekolah vernakular adalah bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan. SEDAR tetap berpendapat Parlimen tiada kuasa untuk mewartakan Seksyen 17 dan Seksyen 28 Akta Pendidikan 1996 yang berkaitan dengan sekolah jenis kebangsaan kerana hal-hal bersangkutan dengan pelajaran dan pendidikan bagi maksud rasmi hendaklah merujuk kepada Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan. Keputusan Mahkamah Persekutuan pada 9 Julai 1982 dalam kes penubuhan Universiti Merdeka boleh dijadikan rujukan.
7. Akta Pendidikan 1996 diluluskan untuk meminda Ordinan Pendidikan 1957 dan Akta Pendidikan 1961. SEDAR menyatakan Parlimen tiada kuasa untuk membolehkan Menteri Pendidikan dalam soal penubuhan Sekolah Rendah Jenis Cina (SRJC) dan Sekolah Rendah Jenis Tamil (SRJT). Ini kerana Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan menunjukkan Menteri Pendidikan tiada kuasa untuk berbuat demikian.
8. SEDAR juga hairan, kalau sekolah jenis kebangsaan Melayu dan Inggeris tidak lagi wujud, bagaimana sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil boleh wujud? Inilah persoalan undang-undang yang kita harus hujahkan. Bahasa Melayu yang asalnya ditulis dalam tulisan Jawi diganti dengan tulisan Rumi bagi memudahkan semua orang belajar Bahasa Melayu. Kerana itulah Kerajaan sediakan Sekolah Kebangsaan bukan sekolah Melayu.
9. Akhir sekali , SEDAR berpendapat Parlimen tidak ada kuasa untuk membuat Seksyen 28 dan Seksyen 17 Akta Pendidikan 1996. Ini jelas bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan. SEDAR dengan ini mendesak supaya Kerajaan bersikap tegas dalam isu sekolah vernakular kerana ia akan menyemarakkan isu perkauman di negara kita. Sekali gus ia mengancam perpaduan nasional. Kerajaan tidak boleh menjadi adil dengan hanya membiarkan semua pihak memikirkan kepentingan masing-masing, kerana ia akan memburukkan lagi keadaan lebih-lebih lagi terhadap perpaduan nasional. Kerajaan tidak harus takut kerana semua negara jiran kita dalam Asean tidak benarkan sekolah venarkular di negara mereka. Kenapa kita harus bersikap berbeza? Isu perkauman di Malaysia adalah seperti bom jangka yang mampu meledak jika tidak dimusnahkan.
Sekian.
Mej(B) Meor Rosli Meor M Jaafar
Penasihat Undang Undang
019-3556540