SEKOLAH VERNAKULAR BERCANGGAH DENGAN PERLEMBAGAAN, MENGGUGAT PERPADUAN NASIONAL

KENYATAAN MEDIA JARINGAN NGO SEDAR (SEDAR)
SEKOLAH VERNAKULAR BERCANGGAH
DENGAN PERLEMBAGAAN, MENGGUGAT PERPADUAN NASIONAL
Jaringan NGO SEDAR (SEDAR) menyokong penuh kenyataan Presiden Pertubuhan
Gerakan QIAM, Dato’ Sirajuddin, (TV Pertiwi 19/2/21) tentang penolakannya terhadap
kewujudan sekolah vernakular di negara ini.
2. SEDAR ingin menyatakan bahawa sekolah Cina dan Tamil mula dibenarkan di Tanah
Melayu kerana orang Cina dan India yang datang ke Tanah Melayu bukan asalnya untuk
menjadi warganegara tetapi hanya untuk berkerja sementara. SEDAR juga ingin
mengingatkan kaum Cina, bahawa Laporan Barnes 1951 telah menyeru kepada
pemansuhan sekolah vernakular dan menggantikannya dengan Sekolah Kebangsaan
dengan menggunakan Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar.
Sebab utama British ingin menghapuskan sekolah vernakular Cina ini adalah kerana
ideologi revolusi di China mula dirasai masyarakat Cina di Tanah Melayu, hasil
hubungan Cina di Tanah Melayu dengan pengaruh guru-guru dari negara China.
Dokumen pro-revolusi serta anti-penjajahan Barat mula menyusup masuk melalui guruguru ini, menyebabkan British mengambil langkah campur-tangan dalam sistem
pendidikan Cina. Fenomena serupa belaku kepada komuniti India kerana mereka
dibesarkan dengan pengaruh yang datang dari India dalam hal-hal berkaitan budaya,
sejarah dan geografi.
3. Langkah British ini ditentang oleh Gabungan Persatuan Guru Sekolah Cina Se-Malaya
(Jiao Zong). MCA pula telah menjadi jambatan di antara Jiao Zong dan Kerajaan.
Kerjasama ini akhirnya membentuk Malayan Chinese Association Chinese Education
Central Comittee (MCACECC) pada 1952. Mereka membantah terhadap 3 cubaan
asimilasi budaya iaitu Laporan Barnes 1951, Ordinan Pelajaran 1952 dan Laporan
Kertas Putih 1954.
4. Kemudiannya, Dong Zong ditubuhkan melalui MCACECC (1953). Tan Cheng Lock,
president MCA ketika itu, menyebut “The MCA would definitely support the cause of
Chinese education. … Those who did not support it were not Chinese.” Dalam
hubungan ini , SEDAR juga hairan kenapa Singapura, Indonesia dan Thailand yang
mempunyai ramai kaum Cina tiada sekolah venarkular? Negara-negara ini hanya ada
satu jenis sekolah sahaja.
5. SEDAR juga ingin merujuk Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan
bahawa Bahasa Melayu hendaklah dijadikan sebagai Bahasa Kebangsaan melalui
undang-undang dalam Parlimen. Walaupun Perkara 152 (1)(a) dan 152(1) (b)
Perlembagaan Persekutuan membenarkan penggunaan (selain bagi maksud rasmi) atau
pengajaran bahasa lain, namun ini tidak bererti ia memberi peruntukan yang Kerajaan
mesti menubuhkan sekolah venarkular untuk tujuan tersebut. SEDAR tiada halangan
untuk Bahasa Cina, Tamil dan bahasa-bahasa lain diajar di Sekolah Kebangsaan sebagai
satu mata pelajaran tambahan tanpa perlu ujud sekolah venarkular. Sebagai contoh,
semua murid boleh bertutur, menulis dan membaca dalam Bahasa Inggeris walaupun
sekolah Inggeris telah dihapuskan pada tahun 70’an.
6. Bagi SEDAR, Perlembagaan adalah Undang-undang utama Persekutuan dan apa jua
undang-undang yang diluluskan selepas Hari Merdeka yang tidak selaras dengan
Perlembagaan adalah tidak sah setakat ketidakselarasan itu. (Perkara 4 Perlembagaan).
Oleh itu SEDAR dengan tegasnya mengatakan bahawa kewujudan sekolah vernakular
adalah bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan. SEDAR tetap berpendapat
Parlimen tiada kuasa untuk mewartakan Seksyen 17 dan Seksyen 28 Akta Pendidikan
1996 yang berkaitan dengan sekolah jenis kebangsaan kerana hal-hal bersangkutan
dengan pelajaran dan pendidikan bagi maksud rasmi hendaklah merujuk kepada
Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan. Keputusan Mahkamah Persekutuan pada 9
Julai 1982 dalam kes penubuhan Universiti Merdeka boleh dijadikan rujukan.
7. Akta Pendidikan 1996 diluluskan untuk meminda Ordinan Pendidikan 1957 dan Akta
Pendidikan 1961. SEDAR menyatakan Parlimen tiada kuasa untuk membolehkan
Menteri Pendidikan dalam soal penubuhan Sekolah Rendah Jenis Cina (SRJC) dan
Sekolah Rendah Jenis Tamil (SRJT). Ini kerana Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan
menunjukkan Menteri Pendidikan tiada kuasa untuk berbuat demikian.
8. SEDAR juga hairan, kalau sekolah jenis kebangsaan Melayu dan Inggeris tidak lagi
wujud, bagaimana sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil boleh wujud? Inilah
persoalan undang-undang yang kita harus hujahkan. Bahasa Melayu yang asalnya ditulis
dalam tulisan Jawi diganti dengan tulisan Rumi bagi memudahkan semua orang belajar
Bahasa Melayu. Kerana itulah Kerajaan sediakan Sekolah Kebangsaan bukan sekolah
Melayu.
9. Akhir sekali , SEDAR berpendapat Parlimen tidak ada kuasa untuk membuat Seksyen 28
dan Seksyen 17 Akta Pendidikan 1996. Ini jelas bertentangan dengan Perlembagaan
Persekutuan. SEDAR dengan ini mendesak supaya Kerajaan bersikap tegas dalam isu
sekolah vernakular kerana ia akan menyemarakkan isu perkauman di negara kita. Sekali
gus ia mengancam perpaduan nasional. Kerajaan tidak boleh menjadi adil dengan hanya
membiarkan semua pihak memikirkan kepentingan masing-masing, kerana ia akan
memburukkan lagi keadaan lebih-lebih lagi terhadap perpaduan nasional. Kerajaan tidak
harus takut kerana semua negara jiran kita dalam Asean tidak benarkan sekolah
venarkular di negara mereka. Kenapa kita harus bersikap berbeza? Isu perkauman di
Malaysia adalah seperti bom jangka yang mampu meledak jika tidak dimusnahkan.
Sekian.
Mej(B) Meor Rosli Meor M Jaafar
Penasihat Undang Undang
019-3556540