Sekolah vernakular bukan badan awam, tapi terima dana kerajaan?

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

BANGI, 1 Jamadilakhir 1443H, Selasa – Ramai pihak ternanti-nanti penghakiman penuh selepas Mahkamah Tinggi memutuskan penubuhan sekolah vernakular serta penggunaan bahasa Cina dan Tamil sebagai bahasa pengantar utama di sekolah berkenaan tidak bercanggah Perlembagaan.

Keputusan itu diputuskan Hakim Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali Isnin lalu, selepas menolak saman Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Majlis Pembangunan Pendidikan Islam Malaysia (MAPPIM) dan Gabungan Persatuan Penulis Nasional (GAPENA) dan Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA).

Dalam penghakimannya, Mohd Nazlan berkata, penubuhan dan kewujudan sekolah vernakular tidak melanggar Perkara 5 (kebebasan diri), Perkara 8 (hak kesamarataan), Perkara 10 (kebebasan bercakap, berhimpun dan berpersatuan), Perkara 11 (kebebasan beragama) dan Perkara 12 (hak berkenaan pendidikan) Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, sekolah vernakular bukan pihak berkuasa awam dan berdasarkan latar belakang sejarah serta perundangan Perkara 152 (bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan) serta niat pihak yang menggubal perlembagaan ketika itu, penggunaan selain Bahasa Melayu bagi pengajaran di sekolah vernakular bukan untuk tujuan rasmi dan tidak melanggar Perkara 152 (1) Perlembagaan.

Susulan keputusan itu, rakyat tertanya-tanya atas dasar apa sekolah vernakular menerima dana daripada kerajaan.

Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Amal Sejagat Malaysia (Amal Sejagat), Cikgu Izzat Johari mengakui beliau terkejut selepas mengetahui bahawa sekolah vernakular bukan badan awam.

“Ini satu perkara sangat mengejutkan. Selama ini kita anggap sekolah vernakular sebagai sekolah awam.

“Ada banyak faktor kita boleh katakan sekolah ini adalah sekolah kerajaan. Sebab itu kita lawan, saman pihak kerajaan kenapa sekolah kerajaan tidak mengamalkan bahasa kebangsaan sebagai bahasa perantaraan ataupun bahasa komunikasi. Itu perkara asas yang sebenar,” katanya.

Beliau berkata dalam temu bual Dimensi bertajuk Vernakular Bercanggah Perlembagaan? yang disiarkan di TV Pertiwi, malam ini.

Pada masa sama, Cikgu Izzat mengakui bahawa selama ini rakyat terkeliru dengan status sekolah vernakular.

Justeru, beliau hairan mengapa guru di bawah Kementerian Pendidikan boleh mengajar di sekolah vernakular yang bukan badan awam.

“Mengejutkan rakyat Malaysia sebenarnya…Bagaimana dana awam boleh diberi kepada bukan badan awam?,” soalnya.

Pautan Dimensi;
https://www.facebook.com/TvPertiwi/videos/459894188845068

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.