BANGI, 25 Rejab 1441H, Jumaat – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) digesa menilai semula pengambilan khas Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) dengan Kepujian bagi calon laluan khas Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) meskipun sudah dilaksanakan sejak 2011 lagi.
Gesaan disuarakan oleh Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (iGuru) susulan bimbang pengambilan itu akan membawa kepada usaha pengiktirafan sepenuhnya terhadap UEC malah mengekalkan kewujudan sekolah vernakukar.
Bahkan, Presiden iGuru, Ustaz Mohd Azizee Hasan berkata, keputusan itu juga pada masa sama dilihat mengetepikan hak pelajar yang belajar di dalam sistem pendidikan aliran kebangsaan.
“iGuru melihat identiti nasional merupakan elemen penting bagi kestabilan sebuah negara dan pendidikan yang berpaksikan identiti nasional adalah wadahnya demi mewujudkan perpaduan semua kaum.
“Justeru, usaha untuk mewujudkan sekolah satu aliran pendidikan amat penting demi kelangsungan generasi masa hadapan dengan satu kurikukum dan satu bahasa.
“Atas asas itu iGuru bimbang langkah membuka peluang lulusan UEC ini akan membawa tuntutan menyeluruh kepada pengiktirafan UEC dan keabsahan sistem pendidikan vernakular yang diurus oleh badan bukan kerajaan seperti Dong Jiao Zong,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
KPM sebelum ini mengeluarkan iklan pengambilan khas PISMP dengan kepujian bagi calon laluan khas untuk pelajar lepasan UEC.
Malah, terdapat poster dikeluarkan dengan kapsyen calon lepasan UEC, SMA dan SMU berumur tidak melebihi 20 tahun pada 30 Jun 2020 layak untuk memohon PISMP.
Bagaimanapun makluman itu mendapat pelbagai kritikan dari netizen, yang mempersoalkan keperluan menjadikan UEC sebagai sebahagian daripada syarat permohonan PISMP.
Untuk makluman, Sijil UEC tiada kaitan dengan Lembaga Peperiksaan Malaysia, ia dikelolakan Jawatankuasa Kerja Sekolah-sekolah Menengah Cina (MICSS) dan wakil-wakil dari Dong Jiao Zong.
UEC adalah silibus sekolah persendirian Cina yang mana sukatan pelajarannya diambil dari Taiwan dan bertentangan dengan Dasar Pendidikan serta Akta Pendidikan 1996.