Simpulan bahasa: Weltanschauung Bahasa Melayu

TAHUKAH anda bahawa bahasa Melayu merupakan rumpun Polinesia yang dituturkan oleh lebih kurang 351 juta orang. Pada kurun abad ke-13, bahasa Melayu digunakan oleh para pedagang asing yang berurus niaga di rantau ini.
Bahasa Melayu berkembang daripada susur galur bahasa Sanskrit dan semakin tersebar luas apabila pedagang Arab mula menjalinkan hubungan perdagangan di alam Melayu. Maka istilah Arab mula menjadi kata pinjaman apatah lagi dengan pengembangan agama Islam. Sedikit demi sedikit pengaruh bahasa Eropah terutamanya bahasa Portugis mula diserap masuk.
Daripada patah kata tersebut maka terciptalah ilmu mantik. Mantik ialah ilmu bahas akal, ilmu jalan fikiran tentang sebab dan kejadian yang terbit daripadanya (Kamus Dewan Edisi Keempat). Ilmu mantik inilah yang menerbitkan analogi atau kiasan atau perbandingan yang bukan sahaja terhad kepada sifat dan bentuk atau gabungan kedua-dua unsur tersebut.
Masyarakat Melayu menggunakan analogi atau bahasa kiasan seperti bidalan, pepatah, perumpamaan dan simpulan bahasa untuk mengungkapkan sesuatu maksud. Orang Melayu gemar memberikan yang tersirat untuk yang tersurat, maka itulah kebijaksanaan orang Melayu yang menjadi weltanschauung bangsanya.
Hal ini bertepatan dengan sifat Melayu yang santun dan berhemah tinggi. Disebabkan itulah maka wujudnya simpulan bahasa yang menimbulkan kesan retorik yang mendalam.
Simpulan bahasa ialah ungkapan yang terdiri daripada dua atau tiga perkataan dan mempunyai makna yang berlainan sama sekali daripada makna asal perkataan tersebut (Kamus Peribahasa Lengkap Utusan).
Simpulan bahasa akan berubah menjadi bidalan apabila frasa tersebut didahului oleh perkataan jangan. Contohnya ‘bercermin di air keruh’ (simpulan bahasa), ‘jangan bercermin di air keruh’ (bidalan). Bidalan ialah peribahasa yang berunsur nasihat.
Simpulan bahasa juga boleh menjadi perumpamaan apabila didahului oleh perkataan umpama, bak, bagai, laksana, ibarat dan seperti. Contohnya, ‘lintah darat’ (simpulan bahasa), ‘ibarat lintah darat’ (perumpamaan).
Perumpamaan ialah perbandingan makna yang jelas kerana didahului oleh perkataan umpama, bak, bagai, laksana, ibarat dan seperti.
Simpulan bahasa juga boleh menjadi pepatah apabila disambung dengan frasa baharu yang mampu menyampaikan maksud tersurat. Contohnya ‘pagar makan padi’ (simpulan bahasa), ‘harapkan pagar, pagar makan padi’ (pepatah).
Pepatah ialah ungkapan yang berasal usul daripada adat resam. Maka ungkapan tersebut tidak berubah-ubah dan tidak boleh diubah-ubah kerana pepatah berfungsi sebagai pedoman hidup masyarakat.
Kaki mempunyai maksud yang khusus, iaitu anggota badan. Namun apabila disebut kaki pukul, kaki perempuan, kaki botol, kaki lawan, kaki judi maka ungkapan tersebut telah berubah maksud secara kiasan.
Kebanyakan simpulan bahasa yang berkenaan dengan kaki menjadi lambang sifat buruk seseorang. Kenapa kaki? Kerana kaki merupakan anggota badan paling bawah yang paling mudah terpercik kekotoran.
Anak juga mempunyai maksud yang khusus, iaitu zuriat keturunan. Namun apabila dijalinkan sebagai anak emas, anak bulan, anak beranak, anak dara, anak didik, anak jantan dan seumpamanya maka ungkapan tersebut bersimpul dalam maksudnya yang tersendiri. Kenapa anak? Kerana anak itu ahli keluarga paling diperlukan dalam institusi kekeluargaan dan masyarakat.
Darah didefinisikan sebagai cecair merah yang mengalir dalam tubuh manusia atau haiwan. Apabila kosa kata ini dipadankan sebagai darah daging, darah gemuruh, darah jernih, darah manis, darah muda, darah panas dan seumpamanya maka kata tersebut sudah bersimpul menjadi maksud yang berlainan daripada definisi asal. Kenapa darah? Darah itulah yang membawa oksigen, nutrisi, hormon dan pelbagai komponen penting lain dalam tubuh untuk kelangsungan hidup manusia.
Hebatnya bangsa Melayu ini mencipta simpulan bahasa untuk mempamerkan pemikiran dan pandangan hidup mereka dalam santun pertuturan dan penulisan.
Penciptaan simpulan bahasa ini weltanschauung kepada kebijaksanaan bangsa Melayu yang begitu dekat dengan alam sejagat.
Keindahan simpulan bahasa ini menjadikan bangsa Melayu sebagai rumpun bangsa yang gemilang dan mampu mempertahankan bahasanya jika dipelihara dan dimartabatkan kedudukannya pada tempat yang sewajarnya.
Definisi: Wéltanschauung (Jerman) bermaksud pandangan menyeluruh, terutama bagi seseorang individu terhadap kehidupan manusia dan alam sejagat. – Kamus Dewan Edisi Keempat

* Azura Halid ialah seorang pencinta bahasa yang kini berkhidmat di Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Selatan.
** Artikel ini adalah pandangan peribadi berdasarkan bidang kerjaya penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.
 
Terjemah »