KUALA LUMPUR: Perjuangan bahasa Melayu seharusnya tidak terletak di atas bahu orang politik semata-mata sebaliknya, ia adalah kepunyaan seluruh rakyat Malaysia dan merekalah yang menentukan masa hadapan bahasa kebangsaan itu.
Ketua Satu Persatuan Penulis Johor (PPJ), Amiruddin Md Ali Hanafiah, berkata hal ini lebih terserlah pada masa kini, kerana Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah berulang kali menegaskan mengenai hal pemartabatan bahasa Melayu termasuk dalam Ucapan Belanjawan 2024.
Justeru kata Amiruddin, penegasan itu seharusnya disambut oleh seluruh rakyat Malaysia dan setiap ahli masyarakat perlu bertanggungjawab terhadap bahasa Melayu apatah lagi ia termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Jadi, jika ada ahli politik yang ingkar ketika masyarakat beriltizam untuk mendaulatkan bahasa Melayu; maka ketepikan saja ahli politik itu dalam pilihan raya.
“Bahasa Melayu adalah milik rakyat Malaysia dan rakyatlah yang menentukan masa hadapan ahli politik,” katanya.
Tegas Amiruddin, hal ini juga perlu disokong oleh iltizam penjawat awam khususnya mereka yang menyandang jawatan utama.
Kelompok ini katanya, perlu menyedari mereka adalah penggerak dan pendukung kepada peraturan serta Rukun Negara.
Sebelum ini, terdapat segelintir rakyat Malaysia yang enggan menggunakan bahasa Melayu dalam urusan rasmi, manakala sebahagian lain gagal mendapat kewarganegaraan meskipun mendakwa sudah lama tinggal di negara ini.
Hal ini diburukkan lagi dengan sistem pendidikan di Malaysia yang memperkenalkan dasar Pembelajaran dan Pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) pada 2003 sebelum dimansuhkan sekitar 2012. Bagaimanapun ia diganti dengan Program Dwibahasa (DLP) sejak 2016.
Bagaimanapun, keberkesanan DLP terhadap penguasaan dan minat murid terhadap Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) masih diragui dan diperdebatkan hingga kini.
Dalam hal ini, Amiruddin berkata bahasa Melayu mesti kekal sebagai bahasa utama dan berperanan penting.
Katanya meskipun kita sudah menubuhkan Dewan Bahasa dan Pustaka sejak 1956 namun isu berkaitan bahasa Melayu tidak hanya urusan agensi kerajaan itu sahaja sebaliknya ia perlu diperkemas dan dibantu oleh semua pihak termasuk swasta.
“Mereka perlu faham, bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
” Mereka yang menolak bahasa Melayu bermakna menolak prinsip Rukun Negara.
“Apakah makna sebuah negara tanpa ada peraturan dan perlembagaan?
“Namun ada sesetengah rakyat Malaysia sahaja yang tidak faham mengenai jati diri dan makna sebagai warganegara,” ujarnya.
Tambahnya pihak yang memperjuangkan DLP seperti Kumpulan Bertindak Ibu Bapa bagi Pendidikan (PAGE) perlu melihat isu ini secara makro.
Katanya, apa yang berlaku sekarang, kumpulan itu melihat hal ini secara mikro dan memikirkan kelompok kecil.
“Sepatutnya mereka perlu melihat kepada fakta mengenai perlunya bahasa utama di sesebuah negara. Dalam konteks ini, bahasa rasmi atau bahasa kebangsaan,”katanya.
Sementara itu, bagi pensyarah dan penulis, Dr Raja Rajeswari Seetha Raman, berkata minda yang tertawan hanya menyekat kreativiti seseorang.
“Kita tidak akan mampu mencipta produk baharu dalam acuan tersendiri jika sekadar menjadi konsumer atau penerima sahaja.
“Cuba kita lihat negara seperti Jepun atau Jerman yang sangat menyanjung bahasa ibunda mereka. Adakah kita juga begitu?
“Kita masih belum merdeka sepenuhnya jika masih terpengaruh oleh budaya dan bahasa asing. Kemerdekaan bermakna bebas dan berdikari dengan identiti tersendiri dengan menggunakan bahasa pertiwi,” katanya.
Tegas Raja Rajeswari, hal itu disedari boleh banyak negara misalnya Korea Selatan, Itali dan Sepanyol malah mereka mampu membangun dan mencapai kemajuan dengan menekankan penggunaan bahasa ibunda.
Malah langkah itu tiada cacat celanya dan seharusnya Malaysia mengambil iktibar dalam usaha bergerak laju dan maju.
“Banyak kajian membuktikan bahawa pemahaman dan penguasaan sesuatu konsep lebih mudah dalam bahasa yang dekat dengan diri, yakni bahasa ibunda.
“Malah kalau di Malaysia, kita boleh lihat di Sekolah Jenis Kebangsaan sama ada Cina atau Tamil mereka kekal menggunakan bahasa ibunda masing-masing, jadi mengapa sekolah kebangsaan atau menengah kebangsaan mahu menekankan penggunaan bahasa Inggeris dalam subjek seperti Sains dan Matematik?,”katanya.
Raja Rajeswari berkata, sebagai mantan pendidik beliau sangat maklum subjek seperti Sains dan Matematik menitikberatkan pemahaman dan penguasaan formula juga konsep dan bukan penguasaan tatabahasa, semantik atau sintaksis justeru, ia tidak memerlukan bahasa Inggeris sama sekali.
“Kita bermain dengan angka dan data dan bukan dengan kata. Tidak nampak kerasionalan penggunaan bahasa kolonial dalam Sains dan Matematik,” katanya.
Apa yang jelas katanya, penggunaan bahasa Inggeris akan berkemungkinan menyebabkan murid akan jauh ketinggalan bukan sahaja dalam subjek Sains dan Matematik tetapi juga dalam subjek bahasa Inggeris itu sendiri disebabkan tatabahasa Inggeris tidak dititikberatkan dalam pengajaran konsep yang bersifat abstrak.
“Justeru, pengaruh ini akan terbawa-bawa dalam bahasa Inggeris apabila mereka menggunakan ayat yang tidak gramatis dalam esei. Natijahnya, keputusan mereka akan merosot dalam tiga subjek utama, Sains, Matematik dan bahasa Inggeris.
“Adakah ini yang kita harapkan?,” soalnya.