Tanglung: Hipokrasi kerajaan tak berlaku adil kepada Melayu

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

BANGI, 17 Jamadilawal 1441H, Isnin – Isu pemasangan tanglung di sebuah sekolah di Puchong, cuba dimainkan oleh puak cauvinis bagi mengecilkan fokus isu yang lebih besar, dakwa Naib Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Mohd Khairul Azam Abdul Aziz.

Beliau yang sebelum ini memuat naik sepucuk surat aduan dari ibu bapa yang tidak senang dengan hiasan Tahun Baru Cina di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pusat Bandar Puchong 1 mengakui bukan seorang antitanglung, sebaliknya cuba mengetengahkan isu lebih besar iaitu hipokrasi kerajaan pada hari ini.

“Hipokrasi kerajaan pada hari ini yang tidak bertindak adil di antara Melayu dan bukan Melayu. Isu paling besar ialah orang Melayu yang dikatakan majoriti di negara ini telah ditindas dan dibuli oleh golongan minoriti yang sekarang ini mendapat kuasa menjadi majoriti dalam Kabinet.

“Mereka mempunyai kuasa terhadap badan-badan penguatkuasaan di dalam negara ini. Walaupun minoriti, mereka mempunyai kuasa dan sedang menindas orang Melayu dan Islam. (Isu) terkini mereka cuba untuk menutup Jakim (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia) pula,” katanya menerusi video di akaun Facebook beliau semalam.

Sebelum ini, Mohd Khairul Azam yang juga seorang peguam mendakwa, hiasan tanglung di SMK Pusat Bandar Puchong 1 melanggar Artikel 3(1) Perlembagaan Persekutuan dan terdapat ibu bapa beragama Islam tidak senang dengan apa yang dilihat mereka sebagai cubaan untuk menyebarkan agama bukan Islam kepada para pelajar di sekolah tersebut.

Bagaimanapun, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang tidak bersetuju dengan pertikaian ibu bapa dan peguam itu berkata, hiasan di sekolah berkenaan tidak sepatutnya dijadikan isu yang boleh memecahbelahkan kaum.

Beliau malah mengetuai delegasi melawat dan memberi sokongan terhadap sekolah berkenaan selepas ia kononnya menerima aduan dari ibu bapa yang meminta hiasan ‘keterlaluan’ sempena Tahun Baharu Cina diturunkan.

Sementara itu, Khairul Azam berkata, beliau tidak akan memberi respons terhadap gelaran biadab yang diberi kepadanya berhubung isu tanglung, namun menegaskan Putra memperjuangkan isu yang lebih besar iaitu berkaitan kedaulatan serta kedudukan orang Melayu di dalam Perlembagaan.

“Fokus saya adalah jelas akan terus memperjuangkan isu-isu Melayu dan Islam seperti mana yang terjamin di dalam Perlembagaan. Saya akan meneruskan usaha saya untuk menutup sekolah cauvinis dan vernakular kamu yang bertentangan dengan Perlembagaan.

“Saya akan cabar kewarganegaraan kamu dan memastikan kamu semua mengikut undang-undang dan Perlembagaan serta patuh kepada bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Semua ini adalah perjuangan orang Melayu yang akan saya bawa melalui banyak medium termasuklah Putra yang sekarang saya ialah naib presiden.

“Oleh itu, saya ingin memberitahu dan menyampaikan mesej kepada kamu di luar sana bahawa ini bukan isu tanglung. Sebenarnya isu yang lebih besar adalah hipokrasi kamu. Saya akan mendedahkan segala-galanya dan pastikan kamu menyesal,” kata beliau tanpa menamakan mana-mana pihak.