Kuantan: Sebanyak 198 kompaun dikeluarkan pihak berkuasa tempatan (PBT) terhadap pemilik premis di Pahang kerana gagal memasang papan tanda tulisan Jawi setakat 30 September lalu.
Berdasarkan statistik, Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) mengeluarkan 115 kompaun, diikuti Majlis Daerah Raub (44 kompaun), Majlis Daerah Rompin (24 kompaun), Majlis Perbandaran Bentong (11 kompaun) dan Majlis Daerah Maran (empat kompaun).
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri Datuk Abd Rahim Muda, berkata tiada kompaun dikeluarkan tujuh PBT lain di Pahang selepas pemilik premis mematuhi arahan berkenaan.
Katanya, pelaksanaan pemerkasaan tulisan Jawi pada papan tanda premis perniagaan di Pahang adalah menyeluruh dan tiada pengecualian diberikan.
“Ia termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau persatuan Cina kecuali rumah ibadat bukan Islam,” katanya pada Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (Dun) Pahang Ke-14 di sini, hari ini.
Beliau menjawab soalan Lee Chin Chen (Dap-Bilut) yang ingin mengetahui sama ada NGO serta bangunan persatuan Cina dikecualikan daripada memasang papan tanda tulisan Jawi dan jumlah kompaun yang dikeluarkan.
Abd Rahim berkata, berkuasa kuasa 1 Januari tahun ini, kerajaan negeri melalui PBT menetapkan dalam syarat lesen untuk memasang tulisan Jawi pada papan tanda .
Katanya, PBT akan mengeluarkan notis terhadap pemilik premis perniagaan yang tidak mematuhi syarat lesen untuk menyediakan tulisan Jawi pada tanda nama perniagaan atau papan iklan premis.
“Sekiranya notis tidak dipatuhi tindakan kompaun akan diambil kerana gagal mematuhi syarat lesen,” katanya.