Perkara 152 (1) dalam Perlembagaan Persekutuan sangat jelas menyatakan ‘Bahasa kebangsaan ialah bahasa Melayu dan hendaklah ditulis dalam apa-apa tulisan sebagaimana yang diperuntukkan dengan undang-undang oleh Parlimen.’
Rakyat yang mencintai negara wajib mematuhi Perlembagaan Persekutuan. Ramai yang memahami perkara lain dalam Perlembagaan Persekutuan seperti hal tanah dan terbaru, mula melihat Perkara 145, Peguam Negara.
Selepas lebih 60 tahun merdeka, bahasa Melayu seolah-olah bukan bahasa kebangsaan di sebalik usaha memartabatkannya yang masih diadakan seperti Bulan Bahasa dan Dekad Bahasa. Ini memperlihatkan warganegara tidak sedar atau pura-pura tidak tahu mengenai kedaulatan bahasa Melayu yang termaktub dalam Perlembagaan.
Bahasa Melayu akan terus dipinggirkan rakyat jika tiada usaha mendaulatkannya. Secara jelas usaha ‘membunuh’ bahasa Melayu dilakukan secara perlahan, termasuk apabila ada yang menggantikan bahasa Melayu dengan nama bahasa Malaysia.
Tindakan menukar istilah itu dilihat memperlekehkan Perlembagaan Persekutuan. Mereka yang bertindak demikian ternyata tidak mencintai sepenuh jiwa negara ini dan tidak menghayati Rukun Negara.
Jika ada perasaan cintakan negara, jangan cuba mengubah sebutan bahasa kebangsaan sebagai bahasa Malaysia. Tindakan ini bukan sahaja mempersenda kedaulatan dan Perlembagaan Persekutuan, bahkan ‘penghinaan’ kepada bangsa Melayu. Belum ada kedengaran di mana-mana negara merdeka, cuba menukar istilah bahasa kebangsaan mereka
Lebih malang terhadap bahasa kebangsaan ialah tiada teladan boleh diikut. Tiga institusi utama di negara ini yang wajar meletakkan bahasa Melayu ialah institusi Parlimen, kehakiman dan pendidikan.
Andai tiga institusi utama ini gagal, bahasa kebangsaan menunggu masa dikuburkan. Dalam Perkara 44 Perlembagaan Persekutuan menyatakan ‘Kuasa perundangan Persekutuan adalah terletak pada Parlimen yang mengandungi Yang di-Pertuan Agong dan dua majlis dinamakan Dewan Negara dan Dewan Rakyat.’
Sebagai Ahli Parlimen yang tergolong dalam Badan Perundangan Persekutuan, mereka perlu menunjukkan teladan dalam mendaulatkan bahasa kebangsaan.
Adalah di luar kewajaran, andai Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Negara atau senator sendiri tidak mematuhi Perlembagaan Persekutuan, khusus mengenai bahasa kebangsaan. Sepatutnya, perbahasan di Dewan Rakyat dan Dewan Negara mesti menggunakan bahasa kebangsaan sepenuhnya.
Bagaimanapun, bahasa Inggeris boleh digunakan khusus untuk perkataan atau istilah tertentu ketika berbahas dengan izin Yang Dipertua Dewan. Dalam hal ini, Yang Dipertua Dewan perlu menggunakan bahasa Melayu sepenuhnya. Jika ada ahli berbahas menggunakan selain bahasa kebangsaan, beliau perlu menegur ahli terbabit.
Ahli Parlimen mesti boleh bertutur bahasa kebangsaan dengan fasih kerana mereka terbabit dengan kuasa perundangan. Perlembagaan Persekutuan mewujudkan Perkara 119 memperuntukkan ‘Kelayakan Pemilih-pemilih’ maka dicadangkan supaya dimasukkan kelayakan calon untuk bertanding.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) patut meletakkan syarat boleh bertutur bahasa kebangsaan dengan baik sebagai kelayakan menjadi calon pilihan raya. Ia wajar dibuat kerana bahasa kebangsaan termaktub dalam Perlembagaan.
Institusi kehakiman amat penting dalam mendaulatkan bahasa kebangsaan. Dalam Perlembagaan Persekutuan terdapat Fasal Penghakiman. Walaupun fasal itu bertumpu kepada kuasa kehakiman dan keanggotaan mahkamah, Perkara 152, tetap terpakai.
Seksyen 8 Akta Bahasa Kebangsaan memperuntukkan segala prosiding (selain pemberi keterangan oleh seorang saksi) di Mahkamah Rayuan, Mahkamah Tinggi atau mana-mana Mahkamah Rendah hendaklah dijalankan dalam bahasa kebangsaan.
Hakim ialah mereka yang mendokong undang-undang. Pengamal undang-undang mesti menggunakan bahasa kebangsaan ketika prosiding di mahkamah. Maka, institusi kehakiman perlu menjadi institusi utama memastikan bahasa kebangsaan dipatuhi.
Mana-mana peguam tidak boleh bertutur bahasa kebangsaan diwajibkan menghadiri kursus pemantapan bahasa Melayu yang banyak diadakan universiti awam (UA) dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Maka, Akta Penguatkuasaan mengenai bahasa kebangsaan perlu diwujudkan.
Bak kata pepatah, melentur buluh biarlah daripada rebungnya. Analogi ini tepat dalam konteks murid di sekolah. Justeru, institusi pendidikan diterajui Kementerian Pendidikan (KPM) menjadi institusi penting dalam membina rakyat Malaysia memahami bahasa kebangsaan.
Bahasa Melayu ialah mata pelajaran utama di sekolah. Pelajar dekad 1980-an dan awal 1990-an amat menghargai bahasa kebangsaan. Ketika itu, pelajar menduduki peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran (SRP) perlu lulus mata pelajaran Bahasa Melayu. Jika gagal, mereka tidak boleh menaiki Tingkatan Empat. Namun kini, gagal atau lulus tidak memberi makna kerana pelajar dibenarkan menyambung hingga mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
KPM ‘tidak sedar’ bahawa istilah Bahasa Melayu ditukar kepada Bahasa Malaysia untuk buku teks murid sekolah rendah, sekali gus perlu kembali menggunakan Bahasa Melayu dalam setiap buku teks.
Kementerian itu perlu mengajarkan murid untuk memahami Perlembagaan Persekutuan khusus mengenai bahasa kebangsaan. KPM juga memperkenalkan Ujian Lisan Berasaskan Sekolah (ULBS) dan menghapuskan ujian lisan secara terbuka. Namun, agak pelik, pelajar swasta pula terpaksa mengambil ujian lisan. Pelaksanaan ujian ini sepatutnya tidak berbeza.
Malah, sistem pendidikan di negara ini tidak sama antara sekolah kebangsaan dengan sekolah jenis kebangsaan. Sebagai contoh, soalan peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) berbeza antara kedua-dua sekolah tersebut. KPM perlu menyeragamkan sistem pendidikan di kedua-dua aliran terbabit.
Sebagai warga Malaysia, tiada sebab tidak tahu bahasa Melayu kerana bahasa Melayu sudah termaktub dalam Perlembagaan. Malangnya, bukan suatu luar biasa masih ada pelajar Tingkatan Lima tidak boleh bertutur bahasa Melayu.
Namun, apakah tanggungjawab memartabatkan bahasa Melayu terletak kepada guru sahaja?
Institusi pendidikan bukan terletak di bahu KPM sahaja, bahkan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT). Malangnya, kebanyakan UA kini menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa utama di universiti.
Sijil Peperiksaan Bersama (UEC) kini diberi ‘pengiktirafan’ secara ‘diam-diam’. Ia akan memberi kesan ketara kepada sistem pendidikan negara. Oleh itu, kerajaan perlu menolak UEC kerana pelajar di sekolah menengah Persendirian Cina tidak menggunakan kurikulum KPM, sekali gus di luar sistem pendidikan negara.
Sebagai negara merdeka, hanya satu sahaja sistem pendidikan perlu dilaksanakan. Jangan kerana ingin mengambil hati pihak tertentu, bahasa kebangsaan digadaikan. Usah kerana ingin menang pilihan raya, bahasa Melayu yang termaktub Perlembagaan Persekutuan diinjak.
Ingatlah, di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung. Bahasa Melayu ialah hak milik negara dan bangsa yang kekal abadi. Kata pepatah, dikenal bangsa daripada bahasanya.
Penulis adalah Ketua Dua, Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA)