BANGI, 9 Syaaban 1441H, Jumaat – “Janganlah memandang remeh pada isu bahasa kebangsaan ini kerana ia adalah bahasa negara, bahasa penyatuan.”
Demikian tegas Presiden gerakan Islam sederhana, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Haji Aminuddin Yahaya yang mengulas tindakan Pemuda MIC mempertahankan poster Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan menggunakan terjemahan tulisan Tamil dalam ucapan ulang tahun ke-74 RTM.
“Usahlah bermain politik di dalam perkara remeh sebegini tatkala rakyat dan negara mengharungi cabaran wabak COVID-19,” kata Ketua Pemuda MIC, R Thinalan merujuk kepada poster Saravanan yang menerima kritikan banyak pihak.
Thinalan berkata, jika diteliti, ucapan di dalam Bahasa Melayu diberi keutamaan, dan ucapan di dalam Bahasa Tamil pula sekadar terjemahan langsung ucapan tersebut.
“Jelas ternyata pejabat Menteri Sumber Manusia tiada niat tersirat di dalam perkara ini, hanya sekadar mencerminkan kepelbagaian budaya Malaysia. Bukannya seperti kerajaan terdahulu, di mana terdapat anggotanya yang membelakangkan bahasa kebangsaan di dalam urusan rasmi,” kata beliau.
Mengulas perkara itu, Aminuddin berkata, selaku penjawat awam dan bergelar menteri, perkara seperti ini bukanlah perkara yang remeh.
“Menteri mesti menunjukkan semangat penyatuan melalui semangat dan nilai kebangsaan. Jadi bahasa kebangsaan mesti digunakan tanpa dicampur aduk dengan bahasa-bahasa lain sebagai alat penyatuan nasional.
“Negara kita ada bahasa kebangsaan dan sepatutnya semua komunikasi utama adalah menggunakan bahasa kebangsaan dan bukan bahasa-bahasa lain. Ini bukan nak merendahkan bahasa-bahasa lain tetapi bahasa kebangsaan adalah bahasa negara dan imej negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan pemimpin-pemimpin negara lain dengan bangga menggunakan bahasa kebangsaan mereka sepenuhnya.
“Apakah kita tidak begitu? Jika seorang menteri tidak menghormati bahasa kebangsaan apatah lagi rakyat yang lain kerana pemimpin negara sendiri memberikan contoh dan mesej yang salah dengan memandang remeh isu bahasa kebangsaan.
“Kita konsisten menuntut Perdana Menteri dan semua menteri Kabinet untuk menggunakan bahasa kebangsaan dalam semua bentuk komunikasi formal. Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) perlu tegas mengingatkan menteri-menteri dalam hal ini terutamanya mengenai Akta Bahasa Kebangsaan,” katanya.