UEC: Perlembagaan, Melayu terus ditipu

BANGI, 25 Rejab 1441H, Jumaat – Kehadiran sekolah vernakular dan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) dalam sistem pendidikan negara telah meletakkan Perlembagaan serta orang Melayu berada pada kedudukan paling rendah.

Naib Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA), Cikgu Izzat Johari membangkitkan perkara itu setelah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menyatakan bahawa ketetapan bagi pengambilan calon guru lulusan UEC untuk Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) telah dilakukan setiap tahun semenjak 2010.

KPM berkata, calon lulusan UEC ditetapkan untuk mengajar subjek Bahasa Cina di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC).

Kementerian itu berkata demikian setelah menerima beberapa pertanyaan dan maklum balas berkaitan iklan pengambilan khas PISMP dengan kepujian bagi calon lulusan Sijil Menengah Agama (SMA), Sijil Menengah Ugama (SMU) dan UEC Ambilan 2020.

Selain itu, KPM berkata, jumlah pengambilan adalah berdasarkan unjuran keperluan yang dibuat kementerian itu.

“Ketetapan bagi pengambilan calon guru lulusan SMA, SMU dan UEC diumumkan semasa pembentangan usul Rancangan Malaysia ke-10 pada tahun 2010 oleh Perdana Menteri ketika itu,” katanya.

Kesal dengan perkara itu, Cikgu Izzat menyanggah tindakan yang jelas bercanggah dengan Perlembagaan itu.

“Alhamdulillah, inilah jawapan yang ingin saya buktikan kepada semua rakyat Malaysia, terutamanya umat Islam dan bangsa Melayu bahawa UEC sememangnya sudah diiktiraf sejak tahun 2010 lagi,” katanya dalam status di Facebook beliau.

Pada masa sama, beliau turut menyifatkan menteri pendidikan ketika zaman pemerintahan kerajaan dahulu sehingga sekarang adalah sama kerana tidak pernah membantah perkara berkenaan.

“Siapa menteri pendidikan ketika tahun 2011? Selepas itu, siapa menteri pendidikan yang ambil alih?

“Sekarang siapa yang ambil alih? Sama sahaja,” katanya.

UEC adalah sebuah silibus sekolah persendirian Cina yang mana sukatan pelajarannya diambil dari Taiwan. Pengiktirafan UEC bercanggah dengan Dasar Pendidikan dan Akta Pendidikan 1996.