UMP bakal terokai industri pembangunan rel negara

PUTRAJAYA: Universiti Malaysia Pahang (UMP) bakal menyumbang kepada pembangunan industri rel negara selepas menjalin kerjasama dengan Beijing Jiatong University (BJTU), China.

Naib Canselor UMP, Prof Dr Wan Azhar Wan Yusoff, berkata kedua pihak memeterai perjanjian persefahaman (MoA) hari ini, bagi jalinan kerjasama dalam Program Dual Ijazah UMP-BJTU, membabitkan bidang Kejuruteraan Awam, Mekanikal dan Elektrikal.

Katanya, program dual ijazah itu akan mencipta lembaran sejarah antara UMP dan BJTU untuk mengeratkan hubungan kerjasama strategik serta membuka peluang lebih luas dalam bidang penyelidikan dan pembangunan akademik kedua-dua universiti.

“Kepakaran dan pengalaman UMP dan Rangkaian Universiti-Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) dalam bidang teknikal ini begitu relevan dalam menyumbang terhadap kelancaran dan kebolehcapaian matlamat bagi merealisasikan program ini,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Wan Azhar dan Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof Dr Mohd Rosli Hainin mewakili UMP manalala BJTU diwakili Presidennya, Prof Dr Wang Jiaqiong dan Timbalan Presiden (Antarabangsa), Prof Dr Guan Zhongliang yang hadir secara dalam talian.

Turut menyaksikan MoA itu ialah, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohd Khairul Adib Abd Rahman; Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Prof Datuk Dr Husaini Omar dan Pengerusi Lembaga Pengarah UMP, Tan Sri Dr Abdul Aziz Abdul Rahman.

UMP dilantik sebagai universiti fokal bagi Program Latihan Kemahiran Industri Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang menjadi peneraju Program Latihan kemahiran Industri ECRL hasil rundingan kerjasama pihak Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Malaysia Rail Link (MRL) dan Syarikat Komunikasi dan Pembinaan China (CCCC) sejak 2017.

Ia membabitkan program latihan seperti pengambilan dan pendaftaran peserta, pembangunan silibus, latihan profesional dan latihan industri, penyediaan tenaga pengajar, kemudahan latihan, penyelidikan dan pembangunan serta juga menyokong kepada agenda kebolehpasaran graduan institusi pendidikan tinggi (IPT).

WanAzhar berkata, bagi setiap semester seramai 60 pelajar UMP akan dipilih untuk menyertai Program Dual Ijazah itu dan pihaknya menjangkakan dalam tempoh lima tahun seramai 300 graduan dalam bidang kejuruteraan rel dapat dihasilkan.

Katanya, pelajar yang mengikuti program berkenaan juga perlu mengikuti kelas bahasa Mandarin dan menduduki ujian bahasa yang ditetapkan bagi melayakkan pelajar terbabit melepasi syarat layak graduan.

“Selepas tamat pengajian, profil graduan ini sepatutnya mempunyai pengetahuan dalam bidang industri rel dan berkebolehan berkomunikasi dan menguasai Bahasa Mandarin.

“BJTU adalah universiti yang mempunyai kemahiran dalam bidang kejuruteraan rel manakala kampusnya juga menyediakan simulasi landasan kereta api dan sebagainya.

“Kerjasama strategik ini amat bertepatan dengan Pelan Strategik 2021-2025 UMP bagi mengadakan banyak kerjasama dengan rakan-rakan pengantarabangsaan,” katanya.

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/04/811781/ump-bakal-terokai-industri-pembangunan-rel-negara?topicID=1&articleID=811781