ASASI MENUNTUT PROGRAM DWIBAHASA (DLP) DIMANSUHKAN

Kenyataan Media – Akademi Sains Islam Malaysia (ASASI)
5hb Ogos 2020

ASASI MENUNTUT PROGRAM DWIBAHASA (DLP) DIMANSUHKAN

Akademi Sains Islam Malaysia (ASASI) melahirkan rasa kecewa dan kesal yang amat sangat dengan kenyataan Timbalan Menteri Pendidikan I, YB Dato’ Dr. Mah Hang Soon, yang mengumumkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan meneruskan Program Dwibahasa atau Dual Language Program (DLP).

Mengikut beliau, KPM memberi kebenaran kepada pihak sekolah untuk memilih melaksanakan pengajaran dan pembelajaran bagi mata pelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris.

ASASI mendapati program DLP adalah hanya penjelmaan baru Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

PPSMI yang mula dilaksanakan pada 2003 sehingga dimansuhkan sepenuhnya pada 2012 telah gagal mencapai sasaran meningkatkan prestasi murid dalam mata pelajaran Sains dan Matematik apa tah lagi kemahiran Bahasa Inggeris.

Kegagalan ini terbukti oleh ujian antarabangsa iaitu TIMSS 2007 dan 2011 dan PISA 2009 dan 2012 ketika pelaksanaan PPSMI yang menunjukan prestasi murid Malaysia menjunam di bawah purata Dunia kepada kumpulan satu pertiga terbawah berbanding prestasi murid Malaysia yang di atas purata Dunia dalam kelompok 10 terbaik dari 58 negara TIMSS 1999 dan 2003 sebelum PPSMI.

Tambahan pula, akibat trauma dan kegagalan prestasi pelajar dalam PPSMI, hanya 40% murid memilih aliran STEM dan TVET di peringkat SPM dan yang seterusnya melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi dalam bidang Sains dan Kejuruteraan , termasuk dalam bidang Teknologi dan Vokasional, berbanding dengan 60% murid yang memilih Sains sebelum PPSMI dan DLP dilaksanakan.

ASASI menggesa kerajaan menansuhkan DLP di sekolah kerana ia akan menemui nasib yang sama dengan PPSMI iaitu kegagalan murid Malaysia mencapai prestasi di atas purata Dunia dalam ujian antarabangsa TIMSS dan PISA.

DLP juga akan terus membina persepsi negatif STEM sebagai mata pelajaran yang sukar bagi kebanyakan murid terutama murid-murid Melayu di luar bandar.

Ini akan menyebabkan peratus pelajar memilih aliran Sains menurun lagi sehingga boleh menjejaskan prestasi ekonomi negara di masa depan kerana kekurangan tenaga kerja mahir dalam bidang Sains, Kejuruteraan, Teknologi dan Vokasional

ASASI menegaskan bahawa tuntutan memansuhkan DLP bukan bermakna ASASI anti bahasa Inggeris.

Malah ASASI mahu mata pelajaran Bahasa Inggeris diperkukuhkan lagi bagi meningkatkan kemahiran Bahasa Inggeris murid sehingga Bahasa Inggeris menjadi bahasa kedua yang penting dalam Dunia global.

ASASI juga amat yakin bahawa sebarang ilmu termasuk Sains dan Matematik lebih mudah disampaikan dan dipelajari dalam bahasa yang mudah difahami oleh murid iaitu bahasa kebangsaan.

Banyak negara yang menggunakan bahasa ibunda/jebangsaan masing-masing dalam pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik seperti Korea Selatan, Vietnam, Hong Kong, Finland dan Jepun, telah menunjukkan prestasi pelajar yang cemerlang.

ASASI percaya jika kerajaan melaksanakan pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Melayu, prestasi murid Malaysia akan meningkat di atas purata Dunia malah menduduki 10 kedudukan di atas yang cemerlang dengan izin Allah SWT.

Prof. Dato’ Ir. Dr. Wan Ramli Wan Daud
Presiden, Akademi Sains Islam Malaysia (ASASI).