Gabungan NGO mahu Dr Mahathir batal rancangan PPSMI serta-merta

Gabungan badan-badan bukan kerajaan (NGO) atas nama Gabungan Mansuhkan PPSMI (GMP) menyuarakan bantahan atas cadangan pemangku Menteri Pendidikan, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk kembali melaksanakan program PPSMI di sekolah.

Dalam sidang medianya di Sekretariat ABIM Pusat, Gombak hari ini, GMP melahirkan rasa terkejut dan kesal terhadap kenyataan yang dibuat Dr Mahathir dalam mesyuarat tertutup dengan pegawai-pegawai Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) 30 Januari lalu.

“Mengapa sekarang setelah melantik dirinya menjadi pemangku Menteri Pendidikan, YAB Dr Mahathir masih berdegil untuk melaksanakan semula PPSMI walaupun PPSMI yang dilaksanakan pada 2003-2010, telah dimansuhkan beransur-ansur pada 2012 telah gagal?” soal pengerusinya, Prof Ir Dr Wan Ramli Wan Daud.

Jelas beliau, tindakan Dr Mahathir memaksa KPM melaksanakan PPSMI dari 2003-2012 merosakkan masa depan hampir 3 juta murid dan menghabiskan belanja lebih RM 3 bilion.

Ini katanya, terbukti dalam ujian antarabangsa TIMSS dan PISA yang menyaksikan prestasi murid Malaysia menjunam ke bawah purata dunia, malah ketinggalan di belakang murid Vietnam yang belajar dalam bahasa mereka sendiri.

“Kami juga tidak bersetuju dengan pandangan Tun yang menyatakan Sains dan Matematik adalah mata pelajaran yang dibawa dari dunia berbahasa Inggeris bukan dari tanah air ini. Sebaliknya dari zaman Kesultanan Melayu lagi orang Melayu tahu tentang sains dan matematik menggunakan kaedah-kaedah ilmu Melayu,” katanya.

Beliau juga menyangkal kenyataan Dr Mahathir bahawa pengangguran berpunca dari lulusan pelajar yang tidak mahir berbahasa Inggeris sebaliknya ia disebabkan lebihan lulusan dalam bidang berkaitan berbanding tawaran peluang pekerjaan, seperti dilaporkan Bank Negara Malaysia pada 2018.

Tegas Dr Wan, dari lebih 40 negara maju, tidak lebih 10 negara yang maju dengan menggunakan bahasa Inggeris dalam pengajaran sains dan matematik, selain pelaksanaannya yang bertentangan dengan saranan UNESCO bahawa pendidikan awal kanak-kanak mesti dilakukan dalam bahasa ibunda mereka.

“Kami dengan ini menggesa Tun membatalkan rancangan melaksanakan PPSMI dan DLP serta-merta dengan menggantikannnya melalui sistem pengajaran bahasa Inggeris di sekolah dengan sistem yang lebih baik daripada sekarang,” katanya.