JANGAN ULANGI PPSMI YANG TELAH TERNYATA GAGAL

KENYATAAN MEDIA

Oleh:
ZAHIR HASSAN
Pengerusi Keadilan
Wilayah Persekutuan

JANGAN ULANGI PPSMI YANG TELAH TERNYATA GAGAL

Sebelum Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dilaksanakan pada tahun 2003, keputusan tersebut telah diumumkan oleh Perdana Menteri ketika itu yakni Tun Dr Mahathir sendiri pada Julai 2002.

Selepas pengumuman tersebut, sekurang-kurangnya 65 orang professor daripada latar belakang bidang Sains, Matematik dan Teknologi telah menghantar memorandum membantah pelaksanaan PPSMI kepada Tun Mahathir dan Menteri Pendidikan pada bulan September 2002. Walaupun akhirnya ia tidak diendahkan.

Sepanjang PPSMI dilaksanakan dari tahun 2003 sebelum dimansuhkan pada tahun 2012, statistik telah menunjukkan kegagalan polisi tersebut. Sebagai contoh, setiap tahun sepanjang perlaksanaannya lebih kurang 150,000 pelajar telah gagal dalam mata pelajaran Sains dan Matematik. Secara keseluruhannya, PPSMI telah menggagalkan lebih kurang 3 juta pelajar semasa sesi persekolahan mereka.

Berdasarkan statistik, bilangan pelajar yang mengambil jurusan Sains semakin menurun dari tahun ke tahun. Pada tahun 2012; 29.35% ,2013; 28.90%, tahun 2014; 28.69%, tahun 2016; 23.15% dan 2017; 23.19%. Kerajaan seharusnya memikirkan kaedah pengajaran yang lebih menarik dan efektif bagi menarik minat pelajar bagi mencapai sasaran 40% pelajar memilih aliran Sains dalam sistem pendidikan. Dan polisi PPSMI telah pun gagal untuk memenuhi sasaran tersebut.

Sepanjang pelaksanaannya, pelbagai memorandum, kajian dan seminar telah didedahkan mengenai kelemahan polisi PPSMI yang telah mendatangkan mudarat kepada para pelajar. Ekoran tindakan kerajaan lalu yang terus mempertahankan PPSMI, rakyat telah berkumpul menyuarakan bantahan melalui satu demostrasi aman di Kuala Lumpur pada 7 Mac 2009 yang bertukar ganas apabila pihak berkuasa menggunakan gas pemedih mata dan air asid. Hasilnya, pemansuhan PPSMI bermula dari tahun 2012 setelah keputusan diambil pada Julai 2009.

Oleh yang demikian, apabila Tun Mahathir menyatakan hasrat untuk melaksanakan semula PPSMI, ini jelas sekali merupakan satu langkah ke belakang dalam sektor pendidikan memandangkan polisi tersebut telah terbukti kegagalannya. Tun Mahathir perlu sedar bahawa zaman sekarang sudah banyak berubah dan memerlukan polisi yang lebih kredibel berbanding hanya menukar bahasa pengantar dalam pengajaran Sains dan Matematik.

Selain itu, PPSMI juga bertentangan dengan saranan UNESCO yang menyarankan bahawa pendidikan kepada kanak-kanak hendaklah dilakukan dalam bahasa ibunda kerana ia lebih baik dan mudah difahami oleh mereka berbanding pendidikan dalam bahasa asing.

Oleh itu, saya berharap agar Tun Mahathir tidak sewenang-wenangnya membuat keputusan yang boleh memberi kesan kepada hala tuju pembangunan negara. Pada masa sama juga saya menggesa agar Perdana Menteri segera melantik seorang Menteri Pendidikan yang baharu kerana jelas sekali negara memerlukan idea dan polisi yang segar dan serba baharu bagi memacu sektor pendidikan negara.

Sekian.