Pencapaian pelajar luar bandar merosot apabila laksana PPSMI

KEPUTUSAN Tun Dr Mahathir Mohamad selaku Perdana Menteri yang juga Menteri Pendidikan, yang mengembalikan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) telah menimbulkan pelbagai reaksi yang negatif dari ahli-ahli akademik, tokoh-tokoh dan aktivis-aktivis pendidikan, ibu bapa dan guru-guru.

PPSMI pernah dilaksanakan dan telah dimansuhkan oleh kerajaan kerana pelbagai faktor.

Cadangan untuk mengembalikan PPSMI memberi implikasi yang banyak, terutamanya dari segi kemampuan guru, kesediaan murid terutamanya di luar bandar dan malah usaha meminda kembali buku-buku dan bahan-bahan pembelajaran berkenaan, pastinya akan memakan kos yang sangat tinggi.

Tanpa menafikan kepentingan bahasa Inggeris, saya yakin ia boleh diajar secara berasingan dan bukannya meletakkan nasib pelajar-pelajar di luar bandar terus ketinggalan.

Terlalu banyak ruang yang kementerian boleh perbaiki dan perkasakan untuk subjek bahasa Inggeris itu sendiri.

Pengalaman yang lalu apabila kita melaksanakan PPSMI, pencapaian pelajar-pelajar di luar bandar merosot dan kita semua tahu hampir kesemuanya dari mereka ini adalah anak-anak Melayu.

Jadi, saya melihat bahawa ini adalah satu bentuk peminggirian pelajar-pelajar Melayu secara tidak langsung.

Dengan melaksanakan PPSMI, jelas kerajaan telah mengenepikan hujah-hujah yang dikemukakan oleh para ahli akademik yang tidak bersetuju dengan PPSMI.

Malah, banyak kajian akademik antarabangsa yang mengesyorkan pembelajaran sains dan matematik dalam bahasa ibunda masing-masing, berbanding bahasa asing.

Hujah yang dipakai oleh Dr Mahathir untuk mengembalikan PPSMI ialah kerana banyak rujukan akademik dan ilmu adalah dalam bahasa Inggeris.

Hujah ini tidak boleh diterima kerana banyak negara yang telah maju dalam bidang Sains dan Teknologi dengan bahasa ibunda mereka sendiri seperti Jepun dan Korea.

Malah, ramai anak Malaysia yang telah melalui zaman pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Melayu sepenuhnya di sekolah dahulu yang telah berjaya, sehingga peringkat doktor falsafah dan mendapat pelbagai anugerah dalam bidang Sains dan Teknologi.

Satu demonstrasi besar-besaran pernah diadakan satu ketika dahulu bagi membantah PPSMI tetapi Dr Mahathir tidak bimbang akan kemungkinan himpunan seperti itu akan berlaku lagi.

Malah, pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan yang lain juga menyuarakan bantahan dan kebimbangan terhadap perlaksanaan PPSMI.

Nampaknya Dr Mahathir tidak mempedulikan nasib anak-anak Melayu di luar bandar yang pastinya akan semakin terpinggir dan kemungkinan peluang mereka untuk melanjutkan pelajaran ke universiti dalam bidang Sains dan Teknologi akan semakin tipis.

Saya berharap supaya Dr Mahathir dapat mempertimbangkan keputusan tersebut demi masa depan negara.

Wallahu’alam.

Aminuddin Yahaya
Presiden ISMA / Pengerusi PEMBELA

Penafian: Artikel ini adalah pandangan penulis. Ia tidak mewakili pendirian rasmi Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), mahupun Ismaweb.net.