PERADABAN memandang bahawa Kerajaan akan mengulangi kesilapan PPSMI

Pertubuhan Peradaban Melayu Malaysia Kelantan (PERADABAN) memandang bahawa Kerajaan akan mengulangi kesilapan lagi sekali sekiranya pengajaran Sains dan Matematik dilaksanakan semula dalam bahasa Inggeris. Dapatan dan rumusan kajian semasa pelaksanaan kali pertama dahulu sudah membuktikan kesan negatif dengan kemerosotan pencapaian dan betapa besarnya jumlah kecundang para pelajar bagi menguasai kedua-dua subjek penting ini. Tahap penguasaan bahasa Melayu pun masih rendah di kalangan sebahagian pelajar terutama di luar bandar, apalagi kelemahan tahap pencapaian bahasa Inggeris mereka.

Bahasa Melayu lebih daripada cukup lengkap bagi tujuan penyampaian ilmu di semua peringkat. Istilah dan padanannya mencukupi dan sudah begitu lama disediakan.

PERADABAN mengharapkan pihak Kerajaan hendaklah mengambil kira pandangan pakar-pakar pendidikan, sarjana, ilmuwan dan bahasawan apabila mahu membuat keputusan sepenting ini di bidang pendidikan. Pemikiran kolektif perlu ada dan elakkan keputusan yang semata-mata mahukan penguasaan bahasa Inggeris yang tidak didasarkan kepada aspek pedagogi atau sistem pengajaran dan pembelajaran (P&P) yang betul.

Jika Malaysia mahu membangunkan dirinya ke tahap sebuah negara maju, lihatlah apa yang dilakukan di negara-
negara maju yang lain seperti Jepun, Korea, Jerman, Perancis dan lain-lain negara. Teladan kejayaan mereka itu sudah sekian lama ada di hadapan mata kita.

Hal ini tidak bermakna rakyat Malaysia tidak perlu mempelajari atau menguasai bahasa-bahasa utama dunia misalnya bahasa Inggeris. Bahasa-bahasa lain juga memang penting dikuasai sebagai wahana komunikasi misalnya bahasa Arab, Sepanyol, Perancis malahan jika mungkin adalah satu dua bahasa yang lain juga. Para ilmuwan dan pakar pendidikan digesa untuk memandu Kerajaan dalam membina sistem dan dasar pendidikan yang komprehensif dan menuju kemajuan masa hadapan yang lebih cemerlang. Dalam senario masa kini, kita lebih perlu melihat semula seluruh kurikulum pendidikan kebangsaan demi mencapai matlamat perpaduan bangsa Malaysia yang kian retak dan jati diri negara yang kian luntur.

Bahasa adalah asas pembinaan peradaban bangsa. Maka langkah-langkah yang bijaksana dan lebih berhikmah menuntut fikiran dan kesatuan pemikiran yang mendalam. Ilmu sepatutnya disampaikan dalam bahasa negara sendiri tetapi tentulah dengan tidak menolak kepentingan bahasa komunikasi antarabangsa.

Strategi, kaedah dan pendekatan yang betul dan benar mesti dicari dengan merujuk kepada pelbagai pengalaman dalam pembangunan negara dan pembinaan bangsa bersandarkan pengalaman pelbagai negara maju yang lain. Kita tidak mahu pisang berbuah dua kali.

Penarikan balik PPSMI sebelum ini oleh Kerajaan sendiri sudah cukup memberikan pedoman yang berfaedah.

DATO’ HAJI A AZIZ DERAMAN

Presiden PERADABAN
Kota Bharu.
1 Februari 2020