1. PPSMI telah disahkan program yang salah dan gagal daripada segi dasar, matlamat dan pelaksanaannya. Kajian DBP, UKM, PEMBINA, UPSI dll, malahan kajian KPM sendiri mengesahkan kesilapan dan kegagalan PPSMI. KPM sendiri telah memansuhkannya pada tahun 2012. Adakah kerajaan kini hendak mengulang kesilapan kali kedua?
2. PPSMI bukan program pemulihan atau peningkatan penguasaan bahasa Inggeris kerana terbukti dalam kajian-kajian empiris bahawa penguasaan bahasa Inggeris tidak meningkat, malah pencapaian pelajar dalam Sains dan Matematik turut merudum. Ungkapan Allahyarham Tan Sri Ainuddin Wahid, mantan Naib Canselor UTM dalam hal ini sangat tepat, iaitu “Lain yang sakit, lain yang dibebat”.
3. Penguasaan bahasa Inggeris hendaklah ditingkatkan melalui mata pelajaran itu sendiri, melalui latihan perguruan, penyediaan bahan pengajaran dan pemelajaran dan penyusunan sukatan pelajaran yang berkesan. Kajian pakar pendidikan sedunia dan pakar pendidikan negara patut dimanfaatkan untuk tujuan peningkatan penguasaan bahasa Inggeris, bukan melalui mata pelajaran lain. Prof. Emeritus Datuk Isahak Haron, misalnya, telah mengemukakan modul yang telah diujikan di sekolah.
4. Pelajarilah sikap dan kebijaksanaan negara-negara lain yang melaksanakan pendidikan dalam bahasa kebangsaan masing-masing, dan ternyata mereka maju, melebihi negara yang memilih bahasa asing sebagai bahasa penghantar utama. Jerman, China, Belanda, Perancis, Jepun, Korea ialah antara contoh yang nyata. Semua negara itu tidak meminggirkan bahasa Inggeris, malah menekankannya tetapi tidak sampai mengutamakan bahasa asing daripada bahasa sendiri. Belanda pula mula mengajarkan bahasa Inggeris pada peringkat sekolah menengah tetapi tidak menghadapi masalah kerana keberkesanan pengajaran bahasa Inggeris yang diamalkan.
5. UNESCO dalam piagamnya menegaskan keberkesanan pendidikan yang menggunakan bahasa sendiri. Jauh lebih awal al-Qur’an telah memberikan isyarat yang jelas seperti dalam surah al-Rum, ayat 22(tentang kepelbagaian bahasa untuk pelbagai bangsa) dan surah Ibrahim, ayat 4 (perihal Allah menurunkan Rasul dalam bahasa yang difahami oleh kaumnya).
(Prof. Datuk Dr. Awang Sariyan
Penasihat Persatuan Linguistik Malaysia)