BANGI, 8 Jamadilakhir 1441H, Ahad – Barisan Jemaah Islamiah Malaysia (BERJASA) mencadangkan supaya kerajaan mengekalkan pembelajaran dan pengajaran subjek Sains dan Matematik dalam bahasa Melayu hingga ke peringkat menengah.
Pada masa sama, satu program intensif juga dicadang diperkenalkan untuk memperkukuhkan bahasa Inggeris di sekolah supaya penguasaannya, terutama dalam pembacaan serta penulisan dapat dicapai dengan baik, kata Presiden BERJASA, Prof Datuk Dr Badhrulhisham Abdul Aziz.
Cadangan itu dikemukakan beliau susulan rancangan Perdana Menteri yang juga pemangku Menteri Pendidikan, Tun Dr Mahathir Mohamad mahu melaksanakan semula Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).
“PPSMI telah digantikan dengan program dwibahasa (DLP) pada tahun 2012 yang memberi pilihan kepada pihak sekolah untuk melaksanakan pembelajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris dengan meletakkan syarat-syarat tertentu.
“Pada pandangan saya, kita sepatutnya tidak perlu kembali kepada PPSMI yang terbukti telah menemui kegagalan disebabkan banyak faktor antaranya faktor perlaksanaan, persediaan dan sebagainya,” kata Dr Badhrulhisham dalam kenyataan, hari ini.
Sebagai kumpulan pertama Darjah 1 sekolah kerajaan yang memulakan sistem pembelajaran dan pengajaran bahasa Melayu sepenuhnya, Dr Badhrulhisham mengakui bahasa kebangsaan tidak langsung menjejaskan pemahaman dan pengetahuan beliau dalam dua subjek berkenaan.
“Kemudian saya melanjutkan pelajaran ke Amerika Syarikat dan UK dalam bidang kejuruteraan kimia dan berjaya mengharungi tanpa masalah.
“Ramai dari kawan-kawan saya dari berbilang-bangsa yang sama-sama dengan saya dalam sistem pembelajaran dan pengajaran dalam bahasa Melayu sepenuhnya, berjaya dalam pelajaran tinggi mereka,” katanya.
Katanya, setelah melanjutkan pelajaran di peringkat kedoktoran (PhD) di Jepun, beliau memahami dengan jelas mengapa rakyat di negara matahari terbit itu masih boleh menguasai sains dan teknologi tanpa belajar dua subjek berkenaan dalam bahasa Inggeris.
Beliau berkata, orang Jepun sangat bangga dengan bahasa ibunda mereka dan berjaya mengekalkan ilmu pengetahuan dalam bahasanya sendiri, sekali gus menyukarkan pesaing.
“Tetapi mereka belajar bahasa Inggeris dan bahasa-bahasa lain untuk memastikan mereka boleh membaca dan memahami bahasa-bahasa tersebut untuk tujuan ilmu.
“Bukan itu sahaja, mereka menterjemahkan hasil-hasil karya bahasa lain ke bahasa Jepun dengan begitu pantas dan intensif agar rakyat mereka tidak ketinggalan dalam ilmu pengetahuan.
“Bahasa jiwa bangsa adalah satu ungkapan yang amat tepat. Identiti bangsa dan negara mesti dikekal dan dipertahankan. Malaysia mampu menjadi negara maju tanpa mengorbankan identiti kita dan tanpa mengagung-agungkan budaya orang lain,” katanya.
Kelmarin, Dr Mahathir mengumumkan bahawa bahasa Inggeris akan digunakan semula untuk pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik di sekolah bagi menggalakkan penggunaan bahasa antarabangsa itu.
“Kita mahu menggalakkan penggunaan bahasa Inggeris, penguasaan bahasa Inggeris dalam sistem pendidikan kita, ini sangat penting. Kita perlu beri masa untuk pembelajaran bahasa Inggeris, khususnya dalam pembelajaran Sains dan Matematik.
“Geografi dan Sejarah boleh datang (dipelajari) dalam mana-mana bahasa, tetapi bahasa digunakan dalam bidang Matematik dan Sains bukan bahasa ibunda kita, ia datang dari luar negara dan kebanyakannya yang datang kepada kita (Malaysia) dalam bahasa Inggeris.
“Jadi, kita akan guna bahasa Inggeris dalam pengajaran Sains dan Matematik,” katanya.