Sarawak boleh minta peruntukan Putrajaya untuk laksana PPSMI

KUCHING: Kerajaan persekutuan bersifat terbuka berhubung pelaksanaan pengajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) di sekolah di Sarawak walaupun ia tidak dibenarkan di Semenanjung.

Menteri Muda Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Sarawak, Annuar Rapaee berkata, Putrajaya bersetuju dengan Sarawak mengenai keputusan itu, bahkan mungkin akan membiayainya.

Beliau memberitahu FMT bahawa kerajaan negeri akan memohon peruntukan daripada kerajaan pusat kerana Kuching membelanjakan sekitar RM10 hingga RM11 juta untuk program itu.

“Oleh kerana kerajaan negeri memerlukan jumlah yang sama setiap tahun, kami akan minta peruntukan (daripada kerajaan pusat) untuk tahun-tahun akan datang.

“Program ini tetap akan diteruskan,” katanya.

Dalam pada itu, Annuar juga berkata, kerajaan negeri merancang untuk membangunkan 5 sekolah antarabangsa yang menampung “pelajar tempatan yang cemerlang, terutama yang berada di luar bandar” dengan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar.

“Jadi, program ini (pengajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris) adalah penting untuk mempersiapkan pelajar luar bandar kita untuk sekolah ini,” katanya.

Program pengajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris melibatkan 27,931 murid Tahun 1 di 1,034 sekolah rendah di seluruh Sarawak.

https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2020/08/27/sarawak-boleh-minta-peruntukan-putrajaya-untuk-laksana-ppsmi/

 

ULASAN PLM:
KPM tidak sepatutnya memberi peruntukan bagi “program” yang telah
dimansuhkan di peringkat Persekutuan dan setiap negeri dalam Persekutuan sepatutnya menghormati akan keputusan kerajaan Persekutuan tanda budi bahasa yang tinggi.