SURAT | Abim desak Program Dwibahasa dimansuhkan

Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) merujuk kepada kenyataan Timbalan Menteri Pendidikan I, Mah Hang Soon, yang berkata Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan meneruskan Program Dwibahasa atau Dual Languange Program (DLP) dengan memberi kebenaran kepada pihak sekolah yang memilih untuk melaksanakan pengajaran dan pembelajaran bagi mata pelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris.

Abim melihat senario yang berlaku ini adalah satu manifestasi kepada kepincangan yang berlaku dalam program DLP sehingga melahirkan keresahan para pencinta bahasa, ibu bapa dan para guru terhadap pendidikan bahasa ibunda.

PPSMI diluluskan pada Julai 2002 dan mula dilaksanakan pada 2003, sebelum dimansuhkan pada 2012.

Kerajaan kemudiannya memperkenalkan DLP dengan 22,960 pelajar sekolah rendah dan menengah terbabit dalam program itu sehingga November 2018.

Justeru Abim menggesa agar KPM kembali fokus kepada usaha mengukuhkan bahasa Inggeris menerusi pemantapan dan pengemaskinian pembelajaran bahasa Inggeris di sekolah dan bukan menerusi pengajaran dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (Stem) dalam bahasa Inggeris.

Hasil ujian antarabangsa iaitu TIMSS 2007 dan Pisa 2012 ketika pelaksanaan PPSMI menunjukkan kedudukan Malaysia menjunam kepada kumpulan satu pertiga terbawah berbanding TIMSS 1999 & 2003, Malaysia dalam kelompok 10 terbaik dari 58 negara.

Keadaan bertambah teruk apabila hanya 40% pelajar aliran Stem melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi dalam bidang Sains dan berkaitan, termasuk kursus dalam bidang teknologi serta vokasional.

Abim menggesa kerajaan menarik semula program DLP di sekolah kerana ia menyebabkan wujud perbezaan ‘darjat’ yang ketara khususnya bagi penduduk di bandar dan luar bandar, sehingga akhirnya mewujudkan dua aliran, iaitu aliran Melayu dan Inggeris.

Program ini juga akan melahirkan kasta dalam pendidikan apabila para murid tidak dibentuk dalam satu acuan pendidikan kebangsaan yang sama.

Menambah kerumitan, apabila ia menyusahkan bahagian pertukaran guru, apabila guru yang boleh mengajar dalam bahasa Inggeris terpaksa ditukar ke sekolah yang melaksanakan DLP.

Sambung kegagalan PPSMI

Abim menegaskan bahawa para pejuang bahasa kebangsaan tidak anti kepada bahasa Inggeris. Belajar dan fasihlah dengan apa jua bahasa yang kita mahu dan minati demi kemajuan anak bangsa.

Tingkatkan penguasaan bahasa Inggeris dengan memperbaiki kaedah pengajaran dan pembelajaran subjek bahasa Inggeris.

Namun, bukan dengan menidakkan hak murid untuk lebih memahami mata pelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa ibunda mereka.

Ilmu lebih mudah disampaikan dalam bahasa yang mudah difahami, iaitu bahasa kebangsaan.

Negara-negara yang menggunakan bahasa ibunda dalam pembelajaran Sains dan Matematik seperti Korea Selatan, Vietnam, Hong Kong, Finland dan Jepun, prestasi pelajarnya mencatat peningkatan konsisten dan cemerlang.

Kegusaran Abim adalah berasas demi kepentingan anak bangsa Malaysia yang dicintai, dan diambil kerana sayangkan bahasa kebangsaan, selain mahu mempertahankan Perlembagaan Persekutuan dan Akta Pendidikan 1996.

Abim juga menegaskan bahawa ia melanggar wasiat Raja-Raja Melayu dan bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan di bawah Perkara 152 yang memperjelaskan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi.

Abim membantah hasrat kerajaan meneruskan DLP dengan menyifatkannya langkah ke belakang yang akan menjadi halangan untuk melahirkan rakyat berilmu dan mahir berbahasa Inggeris.

Langkah yang diperkenal kerajaan dalam mengatasi masalah penguasaan bahasa Inggeris menerusi PPSMI mahupun DLP adalah seumpama memberikan ubat yang salah kepada penyakit yang dihidapi.

Pelaksanaan DLP bukan sahaja tidak berkesan dalam meningkatkan penguasaan dalam bahasa Inggeris, malah membawa kesan yang lebih teruk di mana pelajar sukar memahami dengan sebenar-benarnya konsep Sains dan Matematik yang diajarkan.

Abim menggesa kerajaan mengambil iktibar dan tidak melakukan kesilapan yang merugikan masa depan anak serta negara.

Polisi berkaitan pendidikan perlu berasaskan data empirikal, bukannya persepsi.

Pelaksanaan DLP tidak hanya akan menyambung kegagalan PPSMI yang terbukti secara kajian akademiknya, bahkan juga merupakan satu penganiayaan terhadap pelajar-pelajar, ibu bapa serta warga pendidik secara keseluruhannya.

 


MUHAMMAD FAISAL ABDUL AZIZ ialah Presiden, Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim).

 

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

 

https://m.malaysiakini.com/letters/537462